Sorting by

×

Kerajaan lulus permohonan bernilai RM12.888 bilion di bawah PSU 1.0 setakat 7 Mei- Tengku Zafrul

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR 20 Mei. – Kerajaan telah meluluskan permohonan subsidi upah bernilai RM12.888 bilion di bawah Program Subsidi Upah 1.0 (PSU 1.0) setakat 7 Mei, 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

“Seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-53, yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata kerajaan turut menyediakan peruntukan RM1 bilion kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan PKS mikro yang masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

Menurutnya, setakat 7 Mei di bawah pembiayaan sektor pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), terdapat 653 permohonan direkodkan bagi pembiayaan itu dan daripada jumlah terbabit 325 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM64.6 juta.

“Pihak Kementerian memahami bahawa keadaan pandemik yang masih mencabar menghadkan peniaga untuk memohon daripada dana ini.

“Namun, kerajaan berharap agar apabila keadaan kembali pulih, penggiat industri pelancongan mempunyai dana sedia ada untuk diguna pakai bagi mengembangkan perniagaan masing-masing bagi memanfaatkan gelombang pemulihan ekonomi serantau,” katanya.

Tengku Zafrul berkata bagi menyokong sektor pelancongan sehingga 30 Jun, nilai pengecualian cukai yang dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan telah mencecah RM2.333 bilion setakat 7 Mei, iaitu peningkatan sebanyak RM962.7 juta berbanding RM1.37 bilion yang direkodkan pada 29 Jan 2021.

Antara inisiatif lain bagi menyokong sektor pelancongan termasuklah pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong, serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya, katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

872
Kongsi :
Previous post 6,806 kes baharu dan 59 kematian, angka tertinggi direkodkan
Next post Sanggup jadi keldai dadah dengan upah 1 gram syabu
Ubah saiz-+=