Kerajaan lulus penggambaran selepas Aidilfitri, hadiah Hari Raya paling berharga – FDAM

Masa Membaca:53 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Mei  — Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan penggiat industri perfileman meneruskan aktiviti mereka selepas Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun rayuan mereka untuk menyambung kerja penggambaran sebelum perayaan itu tidak dipenuhi, keputusan tersebut sekurang-kurangnya melegakan karyawan dan kru penerbitan yang hilang mata pencarian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa dua bulan lepas, kata Presidennya Dr Ahmad Ibrahim.

“Kami memang berharap untuk kembali bekerja sebelum hari raya. Tapi alhamdulillah, selepas Adilfitri pun, kami bersyukur juga. Ini hadiah hari raya paling berharga buat karyawan filem. Insya-Allah FDAM akan memastikan SOP dipatuhi.  Terima kasih menteri atas keprihatinan beliau,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah malam tadi mengumumkan berita baik itu ketika bercakap dalam Episod Siaran Langsung Facebook Duduk Rumah Harith Iskander bertajuk ‘Masa Depan Siaran Langsung Hiburan’ Pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Menurut data FDAM, terdapat 875 karyawan filem dan TV termasuk 35 ahli FDAM mewakili 35 syarikat penerbitan kehilangan punca pendapatan sejak  PKP mula dikuat kuasa pada 18 Mac lepas.

— BERNAMA

Views:

1294
Kongsi :
Previous post Awas, polis jengah kediaman yang ‘meriah’ waktu Raya
Next post Larangan rentas negeri, kenapa masih berdegil?
Ubah saiz-+=