Sorting by

×

Kerajaan komited sediakan rumah mampu milik- PM Muhyiddin

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR 26 Mac – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited menyediakan perumahan mampu milik selesa kepada golongan B40 dan miskin bandar, terutamanya di kawasan pesat membangun walaupun berdepan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga berhadapan dengan cabaran menjaga kebajikan golongan miskin bandar, terutamanya warga Kuala Lumpur di kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta, serta penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Dalam menyahut cabaran-cabaran yang saya sebutkan ini, baru-baru ini kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan telah melancarkan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur.

“Panduan ini bertujuan untuk membangunkan semula kawasan usang dan tidak ekonomik seperti Perumahan Awam Sri Labuan,” katanya pada majlis penyerahan kunci kepada pemilik Residensi Razakmas2 di sini hari ini.

MUHYIDDIN… Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited menyediakan perumahan mampu milik selesa kepada golongan B40 dan miskin bandar, terutamanya di kawasan pesat membangun dengan nilai hartanah yang semakin tinggi.

Katanya panduan tersebut juga disasarkan supaya kawasan-kawasan tersebut berwajah baharu, ‘vibrant’ dan mampu berdaya saing, sekali gus memperbaiki visual dan meningkatkan nilai hartanah kawasan tersebut.

Perdana Menteri berkata, inisiatif berkenaan hanyalah sebahagian inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri, yang bersifat mampu milik dan selesa.

Beliau berkata sejak setahun lalu, banyak lagi bantuan yang telah diberikan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk membelanjakan RM40 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Ia untuk kerja-kerja membaiki bumbung, tangga, mengecat bangunan serta kerja-kerja pembaikan utiliti, yang melibatkan 63 projek di bawah DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) selain 13 projek di Labuan. Ini semuanya dilaksanakan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, penyempurnaan projek Residensi Razakmas 2 yang tertangguh selama 10 tahun adalah bukti niat ikhlas, tumpuan dan usaha gigih jentera kerajaan, memastikan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat sentiasa diberikan keutamaan.

SIMBOLIK…Muhyiddin menyampaikan plak kunci kepada seorang pemilik rumah di Residensi Razakmas2,
Yusof Abdul Rahman. Foto kredit FB Tan Sri Annuar

Beliau turut berkongsi kegembiraan 395 pemilik Residensi Razakmas2, yang merupakan penduduk asal Perumahan Awam Sri Labuan, yang menerima kunci rumah baharu mereka di mana ia jauh lebih selesa berbanding perumahan awam itu yang hanya berkeluasan 400 hingga 528 kaki persegi, dengan hanya satu atau dua bilik sahaja.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada 395 pemilik rumah yang menerima kunci rumah Residensi Razakmas2 secara percuma, serta kepada 245 penyewa (di Perumahan Awam Sri Labuan) yang ditawarkan pemilikan rumah dengan harga subsidi RM198,000.

“Selepas inisiatif pembaharuan semula (Perumahan Awam Sri Labuan) yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, pemilik Residensi Razakmas2 akan mendapat rumah berkeluasan 805 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air. Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta yang berbumbung, dewan serba guna dan taman permainan,” katanya.

Beliau menambah nilai pasaran semasa sekitar rumah berkenaan kini ialah RM300,000, berbanding nilai rumah sebelum ini yang dibeli dengan harga RM21,000 hingga RM28,000, iaitu peningkatan 10 kali ganda.

Sementara itu, pada majlis sama Muhyiddin menyerahkan plak kunci kepada 10 pemilik Residensi Razakmas2, sebagai simbolik penyerahan itu.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

720
Kongsi :
Previous post Peluang Luqman Hakim ikut jejak Fabregas
Next post Katil berdiri rawatan fisioterapi raih anugerah perdana inovasi KKM 2020
Ubah saiz-+=