Kerajaan kaji skim pencen tentera bersara awal – PM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BERA 28 Ogos – Kerajaan sedang mengkaji skim pencen kepada anggota tentera yang bersara awal bagi menjaga kebajikan veteran tentera di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kajian mengenai pemberian pencen itu sedang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Markas ATM.

Ini kerana, menurutnya, ia perlu merangkumi semua aspek termasuk kadar bayaran secara pro rata mengikut tempoh perkhidmatan dan sebab mereka berpencen awal.

“Kajian dilakukan supaya mereka yang berhenti misalnya 15 tahun atau 18 tahun berkhidmat diberikan pencen.

“Namun kita perlu lihat sebab mereka berhenti, adakah ia disebabkan masalah disiplin dan ini antara perkara perlu diperhalusi.

“Perkara ini melibatkan aspek kewangan dan apabila (kajian) selesai, Menteri Pertahanan baharu (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) akan membawanya ke Kabinet,” katanya dipetik laporan Bernama hari ini.

ISMAIL Sabri meninjau Eksesais Para Predator Siri 1/2021 yang dilaksanakan Tentera Darat melalui pasukan 10 Briged Para
di Kampung Batu Bor, Bera Pahang hari ini. Foto kredit PMO

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor di sini hari ini.

Turut hadir Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Ketetapan tentera buat masa ini ialah pencen hanya diterima oleh mereka yang berkhidmat selama 21 tahun, menyebabkan mereka yang memilih untuk berpencen awal tidak menikmati manfaat itu.

Ia dalam sesetengah kes, menyebabkan ada yang terus kehilangan mata pencarian selepas tidak lagi berkhidmat.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1457
Kongsi :
Previous post Jiankun tandatangi RDA bangunkan hotel, resort di Melaka
Next post Pengembara masuk Malaysia melalui Johor perlu kemuka permohonan kuarantin – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=