Kerajaan jamin tidak berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak – Mohamad

Masa Membaca:3 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak susulan langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 Nov ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata hal ini memandangkan ketika ini, rata-rata peniaga menjual ayam jauh lebih rendah daripada harga siling ditetapkan sejak Februari 2022 iaitu RM9.40 sekilogram, selain jaminan pembekal bahawa bekalan sumber protein itu mencukupi buat masa ini dan masa hadapan.

“Oleh itu, kalau berlaku pengapungan kita berkeyakinan harganya tidak akan naik mendadak, ia akan stabil, kalau naik mendadak kita akan tanya kenapa, sebab bekalan cukup.

“Yang selalu naik mendadak bila bekalan tidak cukup, sekarang pihak pembekal jamin bahawa bekalan cukup dan kalau tak cukup kita siap sedia bawa dari luar dengan segera,” katanya dalam sidang media penamatan kawalan harga dan subsidi ayam di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad berkata rasional penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

Turut hadir pada sidang media itu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican serta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Mohd Sayuthi Bakar.

Mohamad berkata penamatan subsidi ayam itu selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini di bawah harga siling.

Dalam hal itu, beliau berkata kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan itu terus berada pada kadar munasabah.

“Kerajaan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa.

“Di samping itu, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Okt 2023, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna,” katanya.

Mohamad berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab di peringkat runcit.

Beliau berkata kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.

“Kerajaan akan terus memberi penumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana dan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.

“Langkah ini akan memberi peningkatan dari segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong di pasaran,” katanya.

Sementara itu, Johan berkata dengan penamatan subsidi ayam itu kerajaan dapat menjimatkan belanja kira-kira RM100 juta sebulan.

Pada 13 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam selepas mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.

Beliau berkata pelaksanaan tersebut membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.

Anwar berkata langkah itu juga dilakukan bagi memastikan manfaat subsidi yang diberikan sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak, bukannya warga asing dan golongan kaya memandangkan sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

881
Kongsi :
Previous post Persiapan TMM2024 capai lebih 70 peratus – KM
Next post Pelayan restoran maut, tukang masak parah kereta terbabit kemalangan
Ubah saiz-+=