Sorting by

×

Kerajaan diminta tidak benarkan pengeluaran i-Citra, fokus insentif lain – persatuan pekerja

Masa Membaca:2 Minit, 31 Saat

KUALA LUMPUR, 14 Dec – Beberapa persatuan pekerja meminta kerajaan agar tidak membenarkan lagi pengeluaran kemudahan i-Citra di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaliknya membantu dengan memperkenalkan insentif-insentif tambahan lain.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani berkata ini berikutan pengeluaran kemudahan itu akan menyebabkan ahli-ahli terpaksa bekerja lebih lama demi menggantikan caruman tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, beliau juga menyifatkan beberapa cadangan bagi membantu KWSP membina semula simpanan terbabit seperti kadar dividen yang berbeza atau memfokuskan projek bernilai tinggi, juga tidak mencukupi kerana impaknya terlalu kecil bagi mengubah keadaan sebahagian besar ahli.

“Ini memandangkan hampir separuh daripada mereka mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan persaraan mereka. Ramai ahli yang meminta pengeluaran tambahan ini pula berdepan hutang tertunggak atau perlu menampung perniagaan mereka untuk menyara hidup walaupun ekonomi semakin pulih,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden MTUC berkata kerajaan sebaliknya perlu menyediakan pelbagai tambahan bantuan termasuk bagi peniaga kecil seperti geran, pinjaman bersubsidi dan kredit yang dijadikan sebahagian daripada pakej-pakej rangsangan sama ada melalui bank atau secara terus melalui agensi kerajaan.

Laporan media pada 9 Disember lepas menyatakan isu pengeluaran kali terakhir i-Citra berjumlah RM10,000 itu akan dibincangkan serta diperhalusi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Sementara itu, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) pula menggesa agar pengeluaran i-Citra ditamatkan, malah berpendapat bahawa KWSP akan lari dari matlamat penubuhannya jika terus membenarkan pengeluaran secara berterusan.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata ini berikutan setiap badan berkanun berkaitan dengan sistem perburuhan dan pekerjaan mempunyai matlamat penubuhan dan harus dipertahankan demi kebajikan dan perlindungan menyeluruh pekerja pada hari ini serta di masa depan.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan terutama Kementerian Kewangan perlu mengambil pendirian segera dalam perkara ini demi masa depan para pencarum.

“UNI-MLC menggesa agar KWSP menghentikan segera skim i-Citra itu dengan mengambil kira desakan banyak pihak yang berpendapat ianya tidak wajar kerana boleh menjejaskan kehidupan pekerja selepas bersara,” katanya.

Selain itu, pandangan sama turut disuarakan oleh Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM).

Setiausaha Eksekutif Ikmal Azam Thanaraj Abdullah berkata adalah menjadi tanggung jawab kerajaan untuk membantu pekerja-pekerja yang memerlukan sokongan kewangan.

“Mereka yang mempunyai masalah seperti terlewat membuat pembayaran balik hutang boleh mendapat bantuan bank dalam memberi kelonggaran dan aduan mengenai bank yang tidak memberi maklum balas pula boleh dirujuk terus kepada Bank Negara Malaysia.

“Lebih penting lagi, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mempunyai kuasa untuk menstruktur semula mana-mana pinjaman pengguna dan boleh membantu ahli KWSP terbabit menguruskan beban hutang mereka,” jelasnya.

Pada masa ini 48 peratus pencarum KWSP berusia bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP pada tahap kritikal manakala jangka hayat penduduk Malaysia pula lebih panjang iaitu sehingga 72 tahun bagi lelaki dan mencecah 77 tahun bagi perempuan.

Jumlah keseluruhan ketiga-tiga pengeluaran khas KWSP kini meningkat kepada RM101 bilion yang melibatkan seramai 7.35 juta ahli dana persaraan itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post Mayat bayi perempuan ditemukan dalam tong sampah
Next post Juruteknik maut ketika selenggara lampu limpah di taman tema air popular, JKKP keluar notis
Ubah saiz-+=