Kerajaan diharap laksanakan lebih banyak program kesejahteraan rakyat – Agong
PUTRAJAYA 17 Ogos – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan harapan agar kerajaan terus memperbanyak dan melaksanakan program kesejahteraan rakyat pada masa hadapan bagi manfaat rakyat.
Al-Sultan Abdullah bertitah baginda sangat menyanjung tinggi pelbagai usaha keras dan langkah berani yang telah dan bakal diambil oleh kerajaan untuk melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata.
“Beta telah mengikuti ucapan memanda Perdana Menteri sebentar tadi dan beta menghargai tindakan bistari kerajaan beta dalam memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan juga Pelan Jana Semula Ekonomi Negara. Beta percaya rakyat jelata akan mendapat manfaat daripada pakej-pakej tersebut,” titah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka bertitah demikian pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Istana Melawati di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong turut amat bersetuju dengan pendekatan holistik yang diambil oleh kerajaan bagi menggiatkan semula sektor ekonomi dan perindustrian negara, di samping mewujudkan ekosistem yang lebih mesra perniagaan dan lebih banyak peluang pekerjaan.
Titah Seri Paduka lagi, semua inisiatif dan pendekatan tersebut jelas membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri telah menyahut seruan baginda untuk sentiasa menjiwai keluh kesah dan membela nasib rakyat jelata.
Melihat urus niaga dalam talian semakin mendapat tempat di hati rakyat jelata dan sangat bersesuaian dengan norma baharu, Seri Paduka bertitah ia wajar ditingkatkan selaras dengan matlamat negara untuk meningkatkan penggunaan teknologi dan membentuk masyarakat tanpa tunai bagi merancakkan ekonomi digital.
Pada masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menggesa agar perkhidmatan awam bersedia melalui pembaharuan dan penambahbaikan agar ia lebih responsif dalam memudahkan urusan rakyat jelata.
“Kerajaan beta juga hendaklah terus memberi penekanan terhadap nilai integriti dan tadbir urus yang baik. Rasuah dan salah guna kuasa hendaklah terus diperangi tanpa mengira sesiapa,” titah Yang di-Pertuan Agong.
Melangkah ke hadapan, Seri Paduka mahu rakyat jelata agar terus bersatu padu dalam memerangi pandemik COVID-19 dan Al-Sultan Abdullah juga melahirkan rasa bangga melihat solidariti rakyat berbilang kaum menerusi pelbagai kerja-kerja sukarelawan yang dipamerkan sepanjang negara berhadapan dengan pandemik itu.
“Semua sifat terpuji ini sangat bertepatan dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini. Beta berkeyakinan yang kejayaan akan dapat kita capai menerusi sifat prihatin sesama kita sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan didukung pula dengan semangat patriotisme yang tinggi,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah masa depan yang bakal ditempuhi bukanlah masa untuk mengadu domba perkara remeh, mahupun mencetus sengketa dalam pentas pertarungan yang hanya mengundang musibah kepada rakyat jelata.
“Sebaliknya, kita hendaklah maju melangkah ke hadapan atas landasan solidariti yang kukuh antara kerajaan beta dengan rakyat jelata, tanpa mengira bangsa dan agama mahupun fahaman politik. Sahutlah seruan beta untuk kita terus kekal sehati sejiwa dan penuh muafakat dengan semangat patriotisme yang tinggi, agar negara yang kita sayangi ini kembali menempa kemajuan dan terus stabil mencapai matlamat yang diimpikan,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah juga mengajak rakyat jelata untuk bersama-sama mengorak langkah maju ke hadapan, memandangkan pada pengamatan Seri Paduka, segala dugaan itu akan dapat dihadapi menerusi pembentukan simbiosis yang erat antara kerajaan dengan rakyat.
Seri Paduka juga sedar bahawa pandemik COVID-19 masih belum selesai dan ia telah mengundang keadaan sukar yang membawa kedukaan kepada rakyat jelata, dan negara sendiri telah melalui pelbagai cabaran getir ekoran daripada pandemik itu.
“Beta berharap agar rakyat jelata akan terus bertabah untuk melewati saat-saat sukar yang belum pernah kita alami sebelum ini. Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga Allah menjauhi negara daripada wabak penyakit yang melanda ini dan seterusnya melimpahi Malaysia yang tercinta dengan keberkatan serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan,” titah Yang di-Pertuan Agong.
— BERNAMA