Sorting by

×

Kerajaan digesa tangani segera kenaikan harga ayam

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

LENDU 9 Sept – Pengguna, peniaga ayam dan peniaga makanan merayu kerajaan bertindak segera menangani kenaikan harga ayam sejak pertengahan bulan lalu kerana ia membebankan kos.

Pengguna, S Marimuthu, 70, berkata bagi seekor ayam seberat 2.5 kilogram (kg) yang sekarang dijual RM9.50 sekilogram, dia terpaksa membelanjakan RM23.75 berbanding RM14.50 ketika dijual pada harga RM5.80 sekilogram sebelum 17 Ogos lalu.

“Sebelum ini saya hanya membelanjakan antara RM50 hingga RM60 seminggu bagi mendapatkan empat ekor ayam untuk keluarga tetapi sekarang terpaksa membelanjakan RM152.

“Saya harap kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengelakkan harga terus naik dan membebankan pengguna,” katanya ketika ditemui di kedai ayam Shamsul Bokhari Abdul Ghani di Kampung Solok Duku,
di sini hari ini.

MARIMUTHU dibantu anaknya Suhrajwin Rao, 16, ketika membeli ayam di kedai Shamsul Bokhari.

Dia berkata, penternak ayam harus bertimbang rasa dalam menetapkan harga ayam di ladang yang dibekalkan kepada peniaga ayam dan tidak seharusnya hanya mementingkan keuntungan.

Shamsul Bokhari, 56, berkata, sebelum 17 Ogos lalu beliau menjual ayam RM5.80 sekilogram tetapi terpaksa dijual pada harga RM6 sekilogram pada tarikh berkenaan akibat kenaikan harga ayam dari ladang.

“Penternak menaikkan harga antara 20 hingga 30 sen sekilogram mulai 17 Ogos lalu yang menyebabkan saya juga terpaksa menaikkan harga runcit ayam bagi mengambil sedikit untung.

“Saya tidak menaikkan harga sesuka hati, sebaliknya menjual ayam berdasarkan harga dibekalkan penternak dan jika esok mereka menurunkan harga, saya juga akan menurunkannya,” katanya.

Dia berkata, kebanyakan pelanggan tidak perasan ketika harga ayam naik daripada RM5.80 kepada RM6 sekilogram kerana ia disifatkan masih rendah tetapi apabila harga mencecah RM7 sekilogram, mereka mula mempersoalkan harga.

Bagaimanapun, permintaan harian ayam tetap tidak berkurangan kerana ia adalah makanan keperluan berbanding makanan lain, katanya.

Peniaga makanan, Zulkifli Johar, 60, berkata seekor ayam yang dipotong 16 sebelum ini dijual pada harga RM2.50 seketul.

“Sebelum ini saya membelanjakan antara RM14 hingga RM15 bagi seekor ayam sebelum memotong 16 untuk dijual pada harga RM2.50 seketul.

“Tapi sekarang saya terpaksa membayar antara RM22 hingga RM24 bagi seekor ayam tetapi setakat ini saya belum menaikkan harga jualan kerana ingin menjaga pelanggan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan akan menaikkan harga jika harga runcit terus meningkat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

790
Kongsi :
Previous post KPWKM tawar khidmat bantu vaksinasi remaja
Next post Anak tunggu ayah…yang tiba hanya van jenazah
Ubah saiz-+=