Sorting by

×

Kerajaan dicadang beri geran tetap kepada NGO tangani masalah dadah

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR 28 April. – Kerajaan dicadang memberikan geran tetap kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang terlibat dalam menangani masalah penagihan dadah di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pada masa ini bantuan yang diberi kepada NGO dan persatuan terlibat adalah berdasarkan keadaan.

“Kerajaan ada bagi bantuan tetapi mengikut keadaan, yang tetap tak ada. Saya berpendapat kerajaan patut memberikan geran tetap dan geran berpatutan untuk NGO yang mahu membantu. Penagihan dadah adalah satu penyakit.

“Jadi maknanya Kementerian Kesihatan (KKM) kena ambil berat kerana ia melibatkan rawatan mental juga. Saya berpendapat kerajaan sepatutnya ambil tindakan dan memberi dana lebih berpatutan untuk membantu,” katanya kepada media pada majlis berbuka puasa bersama Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) malam tadi.

Dr Noor Azmi ketika berucap turut memaklumkan KKM sedang berusaha mendapatkan dana berjumlah RM70,000 untuk rawatan kesihatan mental akibat penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Presiden Pengasih Ramli Abdul Samad berkata, 70 peratus penagih dadah mempunyai kaitan dengan kesihatan dan gangguan mental.

Oleh itu, beliau berharap KKM dapat menyalurkan bantuan kewangan bagi membolehkan persatuan itu menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan susulan untuk permasalahan mental pesakit di Pengasih.

“Kebanyakan (pesakit) datang (ke sini) dengan komplikasi mental. Agensi Antidadah Kebangsaan tak terima klien yang ada masalah mental. Jadi, Pengasih bersedia bekerjasama dengan KKM untuk isu ini.

“Kami juga mengharapkan bantuan dari segi belanjawan untuk kami beri perkhidmatan itu. Kami harap kerajaan melihat perkara ini dengan serius,” katanya sambil memberitahu Pengasih Kuala Lumpur kini mempunyai 60 penghuni.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

717
Kongsi :
Previous post Kasih keluarga ‘dikorbankan’ demi kedaulatan negara
Next post Moto2: UMW Grantt International teruskan tajaan untuk Hafizh Syahrin
Ubah saiz-+=