Kerajaan cari jalan, tidak akan biar rakyat ikat perut’ – PM

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

PASIR SALAK, 3 Julai – Kerajaan tidak akan membiarkan rakyat ‘ikat perut’ dalam isu kenaikan harga barang, sebaliknya akan mencari jalan bagi menyelesaikannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan dahulu… rakyat kena ikat perut, tapi (kerajaan sekarang) kita cari kaedah agar rakyat tidak dibebani. Tidak pernah dalam sejarah kita bagi subsidi agar harga tidak naik.

“Kita subsidikan harga sebanyak RM77.7 bilion iaitu ayam, bahan api, elektrik, telur, minyak masak dan air. Kita ambil tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan,” katanya dalam ucapan penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022 di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah hari ini.

Minggu lepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dilaporkan berkata unjuran perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh mana-mana kerajaan.

Menurutnya unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan hari ini adalah sebuah kerajaan yang akan memberikan bantuan sama ada dari segi material mahupun sokongan dalam menyuburkan semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan, mencari titik persamaan dalam kepelbagaian.

“Malah kerajaan hari ini akan terus konsisten memberikan tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. Ini dilakukan bagi memastikan tidak ada yang ketinggalan,” jelasnya.

Beliau turut membidas segelintir pihak yang menuduh kononnya kerajaan berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan berkaitan isu peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan sedar banyak harga barangan meningkat. Saya sendiri membuat tinjauan rambang ke premis-premis perniagaan, ke pasar raya dan sebagainya untuk melihat sendiri dari segi fenomena kenaikan harga barang ini,” katanya.

Sementara itu menyentuh mengenai pembangunan dan kemajuan di negeri Perak, Ismail Sabri berkata beliau gembira dan berpuas hati dengan pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan dengan baik.

“Saya gembira apabila kerajaan negeri memantapkan industri pelancongannya dengan menjenamakan Pangkor sebagai destinasi pelancongan marin nautika melalui Penganjuran Pangkor International Marine Tourism Conference 2022 (PIMTC22).

“Selain itu terdapat 93 projek baharu dan sambungan, bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan di Perak,” katanya.

Ismail Sabri berkata Kementerian Sumber Manusia pula melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial kini membangunkan Pusat Rehabilitasi Neuro Robotik dan Cybernetics Kebangsaan di Bandar Meru Raya yang melibatkan kos RM654 juta, menjadi satu-satunya negeri menawarkan kemudahan robotik ini.

Di bawah Pelan Pemulihan Nasional pula menurutnya Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut melaksanakan beberapa program di Perak yang menawarkan 56,642 peluang pekerjaan, manakala Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula menyediakan peruntukan RM1.77 bilion bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk luar bandar di negeri ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1219
Kongsi :
Previous post Kerajaan siasat, ambil tindakan ketirisan minyak masak ke negara jiran – Mustapa
Next post ‘Single origin’ di Panchor sumbang produktiviti koko negara
Ubah saiz-+=