Sorting by

×

Kerajaan campuran ditentukan parti, bukan individu – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

DURIAN TUNGGAL 9 November – Keputusan sama ada bakal wujud kerajaan campuran atau tidak selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan ditentukan oleh pemimpin parti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu tertakluk kepada parti dan bukannya keputusan dirinya mahupun individu.

“Itu keputusan besar, sebab ini parti yang perlu putuskan, kita tidak boleh individu yang buat keputusan (sama ada) hendak PKR ke hendak Perikatan Nasional (PN) atau PH (Pakatan Harapan). Ini tak nak, itu tak nak, ini parti yang buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan jelajah mesra dan menyantuni penduduk di Pekan Durian Tunggal di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan.

photo1667993363
ISMAIL Sabri pada sidang media. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau bersetuju dengan penubuhan kerajaan campuran jika tidak ada parti politik yang dapat membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah.

“Kalau tidak ada satu parti yang mempunyai ‘simple majority’ (majoriti mudah) tentu sahaja untuk membentuk kerajaan perlu ada kerajaan campuran.

“Kalau tidak memang akan jadi Parlimen tergantung jadi sebab itulah kita tidak tahu lagi ada atau tidak parti yang mempunyai simple majority.

“Tapi memang saya setuju kalau ada parti yang mempunyai ‘simple majority’ secara sendiri, persendirian untuk membentuk kerajaan memang kena ada coalition (gabungan) dan akan ada kerajaan campuran,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai nasib bekas Ahli Parlimen Arau sama ada parti akan memujuknya kembali menyertai UMNO, beliau meminta perkara itu terlalu awal untuk diulas.

“Kita tunggu selepas PRU (Pilihan Raya Umum) nanti, jangan terlalu awal hendak buat spekulasi, kita tunggu BN menang dulu baru kita boleh cerita siapa hendak jadi PM, siapa hendak jadi TPM (Timbalan Perdana Menteri), kita menang dulu,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1716
Kongsi :
Previous post Ragbi Melaka berwajah baharu
Next post Penerimaan rakyat positif, BN mampu menang besar – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=