Kerajaan bantu 130,000 rakyat tersusah melalui inisiatif IPR
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023Â di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.
“Inisiatif IPR ini adalah bagi menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya meningkatkan potensi pendapatan,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beberapa pendekatan baharu akan dilaksanakan untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu bagi meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar meraih pendapatan.
“Antaranya bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekali gus tetapi secara bulanan dan dipantau sama ada sewa beli kelengkapan atau subsidi penggajian untuk majikan yang mengambil peserta miskin tegar bekerja.
“Aktiviti ekonomi disertai hendaklah yang memenuhi keperluan komuniti setempat terutamanya sektor agropertanian dan makanan untuk memastikan permintaan berterusan. Program ini menyasarkan untuk peserta meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 dalam tempoh pemantauan 24 bulan dan selepas itu dapat menjana pendapatan sendiri melalui hasil diperoleh,” kata beliau. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.