Kerajaan akan pastikan urusan pemain industri perdagangan, pelaburan dipermudahkan – Ismail Sabri
Beliau berkata ia seiring dengan komitmen kerajaan bagi melonjakkan prestasi kedua-dua industri berkenaan termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang.
Ismail Sabri berkata langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus kemajuan ekonomi negara kekal teguh.
“Sebagai contoh, sepanjang suku pertama 2022, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion, berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu.
“Jumlah perdagangan luar, berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion, manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini,” katanya ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara di sini hari ini.
Istiadat berkenaan berlangsung bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ismail Sabri berkata usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik COVID-19 semakin berhasil dan berada pada momentum terbaik.
“Terkini, ekonomi negara mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada 2021, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya. Bagi tahun ini, kerajaan bertekad memacu ekonomi untuk mencapai pertumbuhan antara 5.3 peratus sehingga 6.3 peratus sebagaimana yang diunjurkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata pembukaan sempadan juga merancakkan usaha pemulihan ekonomi khususnya sektor pelancongan dengan peningkatan kemasukan pelancong asing.
“Seramai dua juta pelancong asing dijangka mengunjungi Malaysia pada tahun ini yang akan menyumbang sebanyak RM8.6 bilion kepada ekonomi negara,” katanya.
–BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.