Keputusan model gelembung sukan diketahui minggu depan
KUALA LUMPUR 17 Dis. – Keputusan mengenai model gelembung sukan yang akan dikemukakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diketahui selewat-lewatnya minggu depan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata model berkenaan akan dikemuakan kepada MKN hari ini sebagai usaha ‘menghidupkan’ semula perlawanan bola sepak di negara ini yang terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.
“Ini adalah strategi KBS untuk mengaktifkan semula arena sukan bukan sahaja liga bola sepak malah kesemua kemudahan sukan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) baharu iaitu model gelembung sukan.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar MKN terbuka hati menerima cadangan KBS untuk bantu hidupkan semula arena sukan negara,” katanya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Perkara itu diumumkan Wan Ahmad Fayhsal ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Wira Othman Aziz mengenai usaha kerajaan bagi memastikan pandemik COVID-19 tidak memberikan kesan berpanjangan terhadap penaja sukan negara.
Mengulas lanjut, beliau menjangkakan aktiviti sukan dapat diteruskan bermula awal tahun depan dengan berpandukan kepada SOP gelembung sukan.
KBS sebelum ini dilaporkan berkerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan pemegang taruh bagi memperhalusi model gelembung sukan untuk kelangsungan aktiviti sukan yang dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.
— BERNAMA