Sorting by

×

Kepulangan dari ‘tirai besi’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SUNGAI UDANG 20 April – Terubat rindu memeluk tubuh insan tersayang sambil air mata bercucuran, itulah suasana pilu yang dapat disaksikan di Kompleks Penjara Sungai Udang, tatkala beberapa penghuni penjara itu dibebaskan pulang ke pangkuan keluarga untuk menyambut Syawal.

Memandang kelibat anggota keluarga selangkah keluar sahaja daripada ‘tembok batu’ yang memisahkan dengan dunia luar selama ini cukup membuatkan mereka bagaikan ‘mati hidup semula’.

Bagi Orang Bebas Berlesan (OBB) Nurul (bukan nama sebenar), 30, dia hanya mampu mengucapkan rasa syukur kerana dia sama sekali tidak menyangka berpeluang menyambut lebaran bersama ibu dan dua orang anak sekali lagi selepas ditahan pada Februari lalu akibat kesalahan dadah.

“Saya sepatutnya dibebaskan pada 12 Mei nanti tapi dengan keajaiban Allah, saya dapat pulang beraya dengan keluarga dan anak-anak.

“Di dalam (penjara) hari-hari saya berdoa agar Dia berikan saya petunjuk, kesihatan yang baik dan panjang umur agar saya boleh balik berjumpa keluarga untuk berpuasa dan beraya bersama.

“Saya berjanji apabila keluar dari sini saya akan berubah demi keluarga dan tidak akan sesekali terjebak dengan kegiatan itu lagi,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Azah (bukan nama sebenar) teruja apabila menerima panggilan daripada pihak penjara mengenai pembebasan Nurul bulan lalu.

Nurul merupakan antara 18 banduan terpilih menjalani pelepasan pada Program Pembebasan Banduan Secara Berlesen, di sini, semalam.

Azah yang menetap di Selangor sanggup menaiki bas persiaran untuk membawa pulang anaknya yang keluar dari penjara itu.

“Mulanya apabila dapat panggilan daripada pihak penjara pada bulan lalu, saya tidak percaya tetapi hari ini (semalam) saya menghadirkan diri untuk menjemput dia sendiri.

“Adik-adik selalu bertanya tentang kakak dia kerana Nurul rajin membantu saya menjaga mereka dan masak untuk kami anak-beranak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1181
Kongsi :
Previous post Melaka tangguh selenggara jalan sempena Aidilfitri
Next post Mantai Aidilfitri: Orang ramai serbu pasar
Ubah saiz-+=