Kepulangan ‘anak rantau’ disambut meriah
MACHAP 29 Jan – Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina dalam kalangan penduduk Machap Baru makin dirasai apabila hampir keseluruhan kampung itu dihiasi dengan tanglung merah serta lampu neon.
Malah, tarian singa, melepaskan tanglung dan acara menikmati hidangan yee sang iaitu makanan tradisi yang menjadi sajian utama yang berlangsung malam tadi menghangatkan lagi sambutan untuk meraikan tahun harimau yang hanya berbaki kurang 48 jam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Ngwe Hee Sem berkata, kemeriahan suasana sambutan tahun ini agak berlainan sedikit kerana ahli keluarga terdekat dapat pulang dan meraikan bersama orang tersayang.
Beliau berkata, walaupun begitu aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan memandangkan ia disambut dalam norma baharu.
“Pelbagai persiapan rancak dibuat dan apabila kerajaan umumkan kebenaran ianya semakin meriah kerana penduduk kampung akan balik untuk diraikan bersama.
“Persiapan dibuat agak meriah bagi menyambut kepulangan keluarga jauh yang sebelum ini tidak dapat balik kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Menurutnya, walaupun tidak sabar menunggu kepulangan keluarga jauh namun penduduk diingatkan agar mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) terutamanya pemakaian pelitup muka serta penjarakan sosial.
“Walaupun acara malam tadi termasuk tarian singa berlangsung namun ianya dalam norma baharu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.