KEPRIHATINAN KETUA MENTERI BERI KESELESAAN BUAT WARGA IPD MELAKA TENGAH

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

KESIDANG 4 September – Lebih 800 anggota polis yang berkhidmat dalam daerah Melaka Tengah kini bakal mendiami sebuah bangunan sementara yang lebih selesa dan selamat di Batu Berendam.

Ia merupakan antara keprihatinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir yang telah berusia 100 tahun.

Pada lawatan itu, Ketua Menteri telah mendengar keluhan daripada warga IPD berkenaan yang menyatakan ketidakselesaan bangunan lama itu kerana sudah tidak selamat digunakan, selain fasiliti sedia ada juga tidak lengkap.

Whatsapp Image 2024 09 04 At 17.54.16
KEADAAN di IPD Melaka Tengah yang lama di Banda Hilir. Foto Pejabat Ketua Menteri

Keluhan tersebut kemudiannya telah dibawa Ab Rauf ke pengetahuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah lebih RM4 juta bagi pemindahan IPD ke bangunan sementara di Wisma Amanah, Batu Berendam.

Menurut Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, sikap cakna dan prihatin Ketua Menteri kepada anggota keselamatan di negeri terbukti dengan pelbagai usaha yang telah dilakukan sehingga kini.

Jelas beliau, niat Ketua Menteri hanya satu iaitu mahu memberi keselesaan kepada anggota polis dan juga masyarakat yang mahu berurusan di IPD Melaka Tengah.

“Apa yang pasti, bangunan sementara ini lebih selesa dan jauh lebih baik daripada bangunan asal selepas selesai kerja-kerja naik taraf dilakukan.

“Malah, Ketua Menteri juga turut mendengar sendiri beberapa perkara yang dibangkitkan, antaranya dari sudut keperluan seperti kerusi dan meja yang terlalu uzur dan tidak boleh digunakan lagi.

“Malah, Ketua Menteri telah memberi komitmen akan memohon peruntukan tambahan bagi memastikan keselesaan bukan sahaja kepada warga IPD Melaka Tengah, bahkan masyarakat yang berurusan di sini,” katanya.

Whatsapp Image 2024 09 04 At 17.54.52 (1)
KEADAAN bangunan di IPD Melaka Tengah Banda Hilir ketika lawatan Ketua Menteri, Januari lalu. Foto Pejabat Ketua Menteri

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Ketua Menteri mengadakan lawatan ke bangunan sementara IPD Melaka Tengah di Wisma Amanah, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit dan lain-lain kenamaan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, warga IPD Melaka Tengah akan berpindah secara berperingkat ke bangunan sementara itu bermula bulan ini.

Whatsapp Image 2024 09 04 At 17.54.52 (2)
BEBERAPA bangunan di IPD Melaka Tengah yang lama tidak lagi selamat dan memerlukan kos pembaikan yang tinggi. Foto Pejabat Ketua Menteri

Jelas beliau, pemindahan itu tidak berlaku sekali gus, sebaliknya ia secara berfasa bermula 9 September dan kerja baik pulih dan dinaik taraf pula dijangka siap sebelum Oktober.

“Sementara kita menunggu kelulusan peruntukan berjumlah RM250 juta bagi pembinaan IPD Melaka Tengah yang baharu, kita pindahkan mereka ke sini, iaitu bangunan yang lebih baik untuk anggota polis kita,” katanya.

Sebelum ini Melaka Hari Ini melaporkan, Kompleks IPD Melaka Tengah yang baharu dirancang dibina di atas tapak seluas 12.21 ekar di Krubong, di mana ia telah diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan anggaran kos sebanyak RM250 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

137
Kongsi :
Previous post JUMLAH NAHAS KEMALANGAN JALAN RAYA BABIT PELAJAR SEKOLAH TINGGI DI ALOR GAJAH
Next post WASPADA TAKTIK BAHARU ‘SCAMMER’ BERI DISKAUN BIL ELEKTRIK – POLIS
Ubah saiz-+=