Sorting by

×

KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL LANDASAN LAKAR KECEMERLANGAN PENDIDIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 25 Februari – Peranan dimainkan pengetua dan guru besar sebagai pemimpin, menjadi faktor utama menyumbang kepada sebuah sekolah berkualiti seterusnya menjamin kemenjadian murid atau pelajar dalam aspek jasmani, emosi, rohani serta intelek.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berikutan itu semua warga pendidik diminta terus berazam untuk membawa kecemerlangan sektor pendidikan di negeri bertuah ini, sekali gus melahirkan generasi muda berkualiti, berdaya saing dan berakhlak mulia.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan mutu pendidikan di Melaka menongkah arus kecemerlangan kualiti seiring dengan kemajuan yang dikecapi pada hari ini.

“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan terus menjamin peruntukan bersesuaian bagi memperkasa program-program pendidikan di Negeri Melaka.

“Besar harapan saya, semua peserta dapat memanfaatkan program ini sebagai batu loncatan untuk menjadi pemimpin pendidikan yang lebih unggul dan berjaya,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Kepimpinan Instruksional Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan Peluncuran Program MySbp@PPDMT di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesinalisme), Dr. Mohd Azam Ahmad; Pengarah Pendidikan Melaka, Mahfuzah Mohamed Noor serta Pegawai Pendidikan Daerah Melaka Tengah, Mohd Yusri Seman.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Baidara berkata, dengkel kepimpinan instruksional dianjurkan dilihat satu langkah terbaik bagi memperhebat pimpinan sekolah untuk mencorak satu pentadbiran yang lebih relevan, seterusnya menghasilkan lapisan sekolah berkualiti, sekali gus mendokong segala hasrat Kerajaan Negeri.

“Sistem pendidikan yang berkualiti tidak hanya terhad kepada kemudahan dan infrastruktur yang baik, tetapi melibatkan peranan pemimpin berpengetahuan, berkemahiran dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Kepimpinan yang mantap oleh pengetua dan guru besar juga memberi kesan langsung kepada peningkatan prestasi akademik dan persekitaran kerja di sekolah yang lebih kondusif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

84
Kongsi :
Previous post CABARAN MENDIDIK GENERASI DIGITAL
Next post ANAK ‘BERTUAH’ HADIAHKAN MOTOSIKAL BAHARU UNTUK BAPA