KEPETAHAN MURID DARJAH 6 TAMBAT HATI JURI
AYER KEROH 6 Disember – Semangat untuk menang, melenyapkan perasaan gugup Fatin Nur Irdina Maisarah Raman, 12, ketika menyampaikan pembentangan mengenai produk ‘sabun valloera’ dipertandingkan pada Hari Inovasi Negeri Melaka 2024.
Malah kepetahan bercakap dan kemahiran menyusun ayat dimilikinya murid Tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau ini menambah hati juri dan diumumkan sebagai pemenang pembentang terbaik kategori sekolah rendah.
Katanya, kemenangan itu menjadi motivasi buat dirinya untuk terus belajar dan memperbaiki kelemahan diri, sekali gus menjadi seorang yang lebih baik.
“Agak terkejut sebaik nama saya diumumkan kerana ramai lagi rakan-rakan yang bagus, namun begitu saya bersyukur kerana berjaya mencuri perhatian juri.
“Malah ini juga membuktikan apa yang diterangkan oleh saya tentang inovasi ‘sabun valloera’ sampai kepada juri,” katanya.
Anak kepada pasangan pensyarah itu ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Inovasi Negeri Melaka 2024 yang disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE Melaka @UTeM Prof Ts. Dr. Effendi Mohamad.
Menurutnya, kejayaan dicapai itu juga adalah hasil tunjuk ajar dan didikan daripada guru-gurunya yang tidak pernah jemu membimbingnya.
“Selain sentiasa berlatih, kelebihan untuk saya juga mungkin pengalaman mewakili Melaka ke peringkat kebangsaan baru-baru ini, membuatkan saya lebih berani serta yakin.
“Malah menariknya juga kerana produk yang kami hasilkan adalah berdasarkan pemasalahan dalam kalangan rakan sekolah yang mengalami alahan seperti ekzema, jadi timbul idea untuk hasilkan sabun ini,” katanya.
Sementara itu, bagi pembentang terbaik kategori sekolah menengah iaitu Khairun Aqil Kharolazaman, 16, dari Sekolah Menengah Teknik Melaka Tengah berkata, kategori khas diperkenalkan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan merupakan inisiatif terbaik untuk pelajar mempersiapkan diri dan menjadi lebih mahir dalam berkomunikasi.
“Semua orang boleh tampil dan menerangkan hasil kerja atau produk inovasi dihasilkan, tetapi kemahiran dan teknik penyampaian yang betul bagi saya adalah pelengkap sepada semua ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.