Keperitan hidup mualaf
AYER KEROH 22 Jun – Seorang bapa tunggal mualaf, Hafiz Chu Abdullah sanggup menerima hinaan masyarakat dengan meminjam wang daripada saudara dan rakan demi memastikan empat anaknya cukup makan dan minum setiap hari.
Hafiz, 61, pesara Jabatan Kerja Raya negeri, kini hanya bergantung hidup dengan wang pencen yang berbaki RM109 setelah ditolak sewa rumah Pangsapuri Kos Rendah Sungai Putat sebanyak RM226 sebulan.
“Dengan baki sebanyak itu memang tidak cukup untuk menampung keperluan harian,lebih-lebih lagi menyara empat anak yang sedang membesar.
“Tetapi untuk mencukupkan keperluan mereka, saya tidak malu nak minta tolong kawan, saudara mara untuk pinjam duit.
“Beritahulah di mana saya boleh dapatkan bantuan, saya akan segera pergi usaha, asalkan pada hari ini atau esok, anak-anak saya dapat makan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).
Hafiz sudah lebih 20 tahun bergelar mualaf dan hidup sebagai bapa tunggal sejak lima tahun lalu setelah berpisah dengan isteri.
Kini dia menyara empat anak iaitu Nur Sakira, 19; Nur Amira, 18; Muhammad Hakim, 16; dan Nur Maisarah berusia 9 tahun.
Namun kata Hafiz, dia tetap bersyukur kerana kepayahan hidup yang dihadapinya itu mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Mufti negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Melaka.
Menurutnya, pihak terbabit tidak pernah lupa menyalurkan bantuan kewangan dan barangan keperluan dapur untuk keluarganya, malah tiga anaknya mendapat bantuan pembelajaran RM90 seorang.
“Kalau nak dekat Aidilfitri, mesti Mufti Melaka akan hubungi saya maklumkan ada kiriman wang ke dalam akaun bank dan MAIM akan hantar barangan dapur.
“Melalui bantuan itu, dapatlah saya beli juadah Hari Raya dan hias rumah sedikit demi melihat anak-anak ceria menyambut perayaan,” ujarnya.
Kesedihan Hafiz sedikit terubat apabila diberitahu mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021 yang mana dia termasuk dalam golongan layak menikmati bantuan.
Selain bantuan RM300 sempena Aidiladha bulan depan dan kit makanan Musa’adah, anak-anaknya bakal menerima alat sokongan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) iaitu tablet dan langganan internet selama setahun bermula bulan ini hingga Oktober.
“Alhamdulillah, dapatlah Muhammad Hakim dan Nur Maisarah belajar dengan selesa jika keduanya dapat tablet baharu nanti.
“Dulu, mereka terpaksa berkongsi guna dan berebut dengan dua kakak mereka yang ketika itu sibuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia.
“Komputer riba itu pun sumbangan dan inisiatif seorang guru Sekolah Tinggi Melaka yang menghadiahkan kepada Nur Sakira kerana kasihan dia tidak boleh membuat PDPR kerana tidak mempunyai komputer riba,” katanya.
Selain Hafiz, seorang lagi mualaf, Muhammad Firdaus Chia Abdullah, 55, turut melahirkan penghargaan yang tidak terhingga atas keprihatinan kerajaan negeri dalam membantu golongan mualaf sepertinya mengharungi kesukaran hidup pada masa ini.
Dia yang tidak lagi bekerja akibat menderita penyakit barah pankreas sejak setahun lalu terpaksa bergantung kepada isteri, Mary Suprat Sarban, 40, yang kini mengalas tugasnya membersihkan masjid di Alor Gajah.
“Terpaksalah isteri galas kerja saya dahulu kerana kami perlukan wang upah RM500 bersihkan masjid bagi kegunaan membeli barang dapur dan bayar sewa rumah.
“Alhamdulilah syukur pada Allah, dengan bantuan RM300 nanti dapatlah saya buat persediaan menyambut Aidiladha nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.