KenTeam pemilik baharu MUFC

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 7 April – Syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn Bhd (KenTeam) kini menjadi pemilik baharu Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) apabila memegang 70 peratus saham kelab berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUFC Datuk Saiful Mat Sapri berkata, baki 30 peratus lagi saham masih dipegang Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) sekaligus menyaksikan kedua-dua pihak bergabung untuk meningkatkan lagi prestasi MUFC.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahan nilai pelaburan dibuat CEO KenTeam, Datuk Justin Lim terhadap kelab itu namun mengesahkan pengambilan tidak membabitkan pertukaran pengurusan sedia yang masih diberi kepercayaan untuk mentadbir pasukan sepanjang musim ini.

“Walaupun KenTeam adalah pemilik baharu MUFC, hasil perbincangan kita dengan Datuk Justin, beliau juga akan bersama-sama MUSA untuk menstabilkan dan menaikkan imej bola sepak negeri Melaka yang kita tengok begitu hambar (prestasinya) tahun lepas.

“Setakat ni belum ada perubahan (pengurusan) lagi yang kita nak buat cuma kita minta dari aspek latihan dapat memainkan peranan penting dari segi taktikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU Antara MUFC dan KenTeam di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.

Majlis disaksikan Ketua Menteri Melaka merangkap Presiden MUSA, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan Timbalan Presiden Presiden MUSA Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Mengulas lanjut Saiful berkata, dengan pemilikan baharu itu pemain tidak akan berdepan dengan masalah tunggakan gaji kerana kewangan KenTeam yang mencukupi untuk melunaskan gaji pemain sehingga akhir tahun ini

“Jadi tak ada alasan lagi tak boleh main kerana tidak ada gaji. Pemain tak perlu risau kerana saya sudah berbincang dengan dengan Datuk Justin yang mana kita rasa kewangan akan cukup sampai hujung tahun ni.

“Jumlah hutang sebelum ini tu tak banyak cuma ada baki yang agak minimum dan akan akan diselesaikan secepat mungkin oleh MUSA,” katanya.

Sementara itu Justin yang enggan mendedahkan nilai pelaburan dibuat berkata pihaknya mempunyai beberapa perancangan untuk menaikkan semula imej MUFC melalui kerjasama dengan MUSA.

“Kita akan bekerjasama untuk membawa MUFC ke peringkat seterusnya dan kami akan memberi sokongan kewangan dan moral kepada pemain untuk memastikan kejayaan kelab,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran jersi ketiga MUFC berwarna biru keluaran Al-Ikhsan Sports dan perasmian bas MUFC.

MUFC Februari lalu melancarkan jersi baharu pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super musim 2021 dengan pilihan warna hijau muda sebagai warna bagi jersi utama atau jersi tuan rumah (home).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1972
Kongsi :
Previous post Suami isteri mengaku tidak bersalah cabul, dera kanak-kanak di pusat kebajikan
Next post Impian MUFC ganding dua penyerang import lebur
Ubah saiz-+=