KENDURI RAKYAT W.R.U.R KUALA LINGGI TUMBANG 2 EKOR LEMBU
KUALA LINGGI 6 Januari – Kira-kira 10,000 warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi dijangka akan memeriahkan kenduri rakyat pada acara kemuncak Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R), 18 Januari depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah berkata, kenduri rakyat itu akan diadakan di Sekolah Kebangsaan Othman Shawal, di mana ia merupakan antara pengisian program sepanjang 14 hari berlangsungnya W.R.U.R.
Jelas beliau, program itu juga dijangka akan menghimpunkan rakyat berbilang bangsa daripada pelbagai peringkat umur untuk bersama-sama menikmati pelbagai juadah menarik yang disediakan.
“Sebagai penutup WRUR, kita akan mengadakan kenduri rakyat yang mana pada kenduri itu sebanyak dua ekor lembu akan ditumbangkan selain ada juga kira-kira 400 kilogram ikan pari yang dimasak asam pedas akan dijamu kepada mereka yang hadir.
“Selain berkonsepkan gotong royong menyediakan hidangan, kenduri rakyat ini juga antara medan mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat apabila dijangka kira-kira 10,000 penduduk akan bersama-sama dalam acara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Denai Sungai Kebangsaan (DSK) Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) DUN Kuala Linggi yang disempurnakan Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, di Denai Parit Besar @ Universiti Islam Melaka (UNIMEL), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah JPS negeri, Ir. Ts. Dr. Muhamad Khairudin Khalil dan Naib Canselor UNIMEL, Prof Datuk Dr. Abdul Khalil Shawkataly.
Rosli yang juga Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, sepanjang dua minggu berlangsungnya W.R.U.R, kesemua Exco dan Timbalan Exco Keranaan Negeri bersama jabatan serta agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) akan turun padang mendekati dan mendengar pemasalahan penduduk sebelum disusuli dengan tindakan lanjut.
“Untuk W.R.U.R DUN Kuala Linggi ini kita menerima kira-kira 100 aduan tentang pemasalahan rakyat dan ia akan disalurkan kepada agensi untuk diambil tindakan untuk diselesaikan.
“Selain itu, sepanjang 14 hari berlangsungnya W.R.U.R ini pelbagai program diadakan termasuklah gotong-royong dan juga pelepasan benih udang galah sebanyak 400,000 ekor di Sungai Linggi,” katanya.
Menurut Rosli, selama dua hari pertama berlangsungnya W.R.U.R di DUN Kuala Linggi, kira-kira 1,000 penduduk telah turun padang untuk bersama-sama memberikan sokongan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.