Kenapa perlu pertikai Timb Menteri bertanding, soal Ban Hong
KLEBANG 13 Nov – DAP seakan sudah kehabisan modal apabila sengaja mempertikai isu Timbalan Menteri menjadi calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana mengikut undang-undang tidak menjadi kesalahan untuk mana-mana individu yang mempunyai jawatan di peringkat pusat untuk bertanding.
Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) DUN Klebang juga mempersoalkan kenapa perkara seperti itu tidak dibangkitkan sewaktu hari penamaan calon, 8 Nov lalu dan kenapa ia perlu dibangkitkan sekarang.
“Semasa saya kemukakan borang pencalonan pada hari penamaan calon tiada siapa pun mempersoalkan atau dibantah calon bertanding sedangkan masa mencukupi telah diberikan.
“Jadi borang saya telah diterima dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah umum saya calon yang sah.
“Seharusnya perkara ini tidak perlu ditimbulkan menjadi isu oleh parti-parti lain,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan telah memohon cuti di peringkat kementerian sepanjang tempoh PRN Melaka.
Katanya, cuti itu diperlukan bagi membolehkannya memberi tumpuan penuh kepada kempen pilihan raya yang sedang berlangsung kini.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.