Kenapa ‘peram’ barang saya?
AYER KEROH 5 Julai – “Barang yang dibeli sudah pun dipos dan tiba di Melaka 1 Julai lalu, tapi sampai sekarang ia tak sampai ke rumah.
“Lebih pelik, bila saya lihat status barang menggunakan nombor pengesanan di laman sesawang, barang didakwa gagal diserah seolah-olah saya tiada di rumah sedangkan dalam tempoh itu saya tidak keluar kerana perlu Bekerja Di Rumah (BDR).”
Itu keluhan Haslinah Mahadi, 56, yang mendakwa kecewa dengan sebuah syarikat kurier terkenal terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.
Menurutnya, sekalipun berhadapan dengan masalah tidak cukup kakitangan, syarikat penghantaran itu tidak sewajarnya memberi alasan tidak munasabah untuk meletakkan kesalahan kepada pelanggan.
“Saya juga ada menghubungi penjual yang memaklumkan barangan pelanggan lain yang dipos pada hari sama barang saya dipos menggunakan khidmat syarikat kurier lain telah pun diterima pelanggan di Pahang dan Kedah.
“Saya betul-betul kesal dengan situasi ini dan pelik mengapa perlu ‘peram’ barang saya begitu lama. Malah beberapa talian khidmat pelanggan mereka di Melaka juga gagal berjawab ketika dihubungi,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Berdepan situasi sama, MHI menemukan beberapa pengguna turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkhidmatan itu di laman Facebook.
Rata-rata mereka berdepan perkara itu mengecam dan mempertikai perkhidmatan sering lewat serta pelbagai masalah lain berlarutan sejak berbulan lalu seolah tiada jalan penyelesaian.
Bagi Zaihani Daut, 45, akibat terlalu kerap berdepan situasi terbabit dia kini terpaksa menukar kepada syarikat perkhidmatan penghantaran lain biarpun caj yang dikenakan sedikit tinggi.
Jelasnya, dia terpaksa menunggu sehingga sembilan hari menantikan proses penghantaran itu sedangkan apabila dijejaki ia sudah lama tiba di negeri ini.
“Perkara ini memang selalu berlaku, biasanya bila dah masuk Melaka ia akan ‘sangkut’ beberapa hari di pusat agihan sebelum tiba ke rumah macam mereka nak ‘peram’ dulu baru hantar,” luahnya.
Sementara itu, MHI sedang berusaha mendapatkan reaksi balas daripada syarikat penghantaran berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.