Kenangan manis Nisa Asilah terima Anugerah Graduan Terbaik bersama ibu bapa
AYER KEROH 6 Disember – Menaiki pentas bersama ibu bapa bagi menerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma, menjadi kenangan terindah dan paling manis buat Nisa Asilah Ruslan, 23.
Gadis ini diumumkan sebagai penerima anugerah itu pada Istiadat Konvokesyen Universiti Melaka (UNIMEL) Ke-25 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Graduan Diploma Pengajian Islam Dengan Pembangunan Sumber Manusia ini berkata, apa yang menarik dia tidak memaklumkan kepada kedua ibu bapanya bahawa mereka juga dijemput sama naik ke pentas bagi menemaninya menerima anugerah itu.
“Memang sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan ibu dan ayah, saya rasa momen ini (naik pentas terima anugerah bersama kedua ibu bapa) adalah perkara paling manis sepanjang hidup.
“Syukur penat lelah selama tiga tahun berbaloi apabila meraih anugerah tertinggi pada istiadat konvokesyen,” ujarnya sebak.
Ketika ditanya mengenai cabaran, Nisa Asilah berkata dia bersyukur kerana semuanya berjaya mendepani dengan tenang dan segala urusan dipermudahkan.
“Semua orang ada cabaran tersendiri, ujian berbeza-beza, apa yang penting bagaimana untuk menanganinya, alhamdulillah berkat doa ibu dan bapa saya berjaya sampai ke tahap ini.
“Selepas ini saya bercadang menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang yang sama,” katanya yang kini bekerja di sebuah syarikat pengeluar kenderaan di Cheng.
Sementara itu, bapanya Ruslan Muda, 56, berkata dia dan isteri Shah Putri Basar, 53, pada mulanya terpinga-pinga apabila juruacara meminta mereka naik ke pentas bersama Nisa Asilah.
“Memang terkejut, anak tidak memaklumkan kepada kami, jatuh juga air mata jantan saya apabila melihat anak meraih anugerah, Alhamdulillah.
“Saya ini bukanlah bijak, sering saya nasihati anak untuk belajar tinggi-tinggi bukan untuk raih gelaran tapi ilmu yang diutamakan kerana kami suami isteri dahulu tidak mampu ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.