Sorting by

×

‘Kenali raptor, T-Rex Zoo Melaka’

Masa Membaca:2 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 10 APRIL. – Bagi pengunjung Dinosaur Encounter Zoo Melaka mungkin sudah sinonim dengan persembahan dinosaur raptor dan T-Rex dalam Dino Show yang merupakan sebahagian aktiviti disediakan kepada pengunjung.

Dino Show dianggarkan berlangsung kira-kira 30 minit yang mana petugas atau ranger memakai sut dinosaur jenis Raptor serta T-Rex diperkenalkan kepada pengunjung dan diterangkan sejarah kewujudannya satu ketika dulu oleh juruacara.

Namun, tempoh 30 minit persembahan memakai sut dinosaur seberat 30 kilogram itu hanya mampu digalas oleh seorang pemuda dari Durian Tunggal, Muhammad Faiz Baharuddin, pemegang Ijazah Sejarah dan Tamadun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

MUHAMMAD Faiz menunjukkan sut Raptor yang dipakainya untuk menghiburkan pengunjung pada Dino Show sejak bertugas sebagai ranger Dinosaur Encounter tahun lalu.

Dengan berat badan 56 kilogram, Muhammad Faiz, 28, berkemampuan bergerak bebas menghiburkan pengunjung dengan memakai sut dinosaur yang diperbuat daripada rangka besi dan span selain dilengkapi skrin monitor depan serta belakang sut bagi memudahkan pergerakan.

“Ada beberapa orang ranger yang akan bertugas membuat persembahan tetapi hanya dapat bertahan memakai sut kurang dari lima minit tetapi saya mampu bertahan lebih dari tempoh itu.

“Ini kerana segala berat dan rasa tidak selesa itu semua hilang apabila melihat kanak-kanak dan pengunjung yang datang ketawa dan seronok dengan persembahan yang kami sediakan untuk mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Jika diikutkan dengan kelayakan yang dimiliki Muhammad Faiz, dia mampu menjawat pekerjaan sebagai pendidik mata pelajaran Sejarah atau bergelar pensyarah, namun anak kedua dari empat adik beradik itu memilih untuk menjadi ranger Dinosaur Encounter.

“Ini semua kerana saya meminati haiwan purba dinosaur ini dari kanak-kanak lagi dan semakin berputik apabila saya mula menonton rancangan dokumentari National Geographic,” katanya.

Ditanya apakah ramuan `kekuatan’ yang dimiliki berbanding rakan setugas yang lain, menurut Muhammad Faiz, ia hasil latihan fizikal yang diperolehi sebagai anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES)Udara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain Muhammad Faiz, seorang lagi ranger wanita yang turut diberi peranan menghiburkan pengunjung pada Dino Show iaitu Nur Aisha Amiera Mat Isa, 25, yang mengenakan sut pakaian dinosaur jenis T-Rex.

Namun, tugas Nur Aisha lebih mudah kerana sut T-Rex tidak seberat Raptor kerana diperbuat plastik lembut sekali gus lebih ringan serta memudahkan pergerakan.

“Kami seronok dengan kerja yang kami lakukan sekarang kerana ia lebih banyak mendidik generasi baharu tentang kewujudan haiwan prasejarah dinasour satu ketika dulu dan penting untuk anak-anak hari ini menimba ilmu mengenainya.

“Kerjaya sebagai ranger atau penghibur Dino Show ini bukan semata-mata kerja atau upah yang diperolehi darinya, tetapi ia lebih kepada kepuasan dan minat yang mendalam terhadap alam semula jadi, flora dan fauna,” katanya.

Dinasaur Encounter dibangunkan dalam kawasan seluas empat hektar di Zoo Melaka menawarkan harga tiket RM38 untuk dewasa manakala RM31 bagi kanak-kanak dan warga emas.

Terdapat lebih 100 dinosaur yang dibuat dengan skala 1:1 (sama saiz dengan yang sebenar) di dalam zoo, menjadikan taman Dinosaur di Melaka ini antara taman dinosaur terbesar di Asia Tenggara.

Selain Dino Show, pengunjung berpeluang mengunjungi Taman Ice Age, galeri fosil, photobooth, pameran pendidikan, kedai barangan cenderahati, VR Games, dinosaur ride dan permainan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1504
Kongsi :
Previous post ‘Berbuka puasa bersama dinosaur’
Next post Kerajaan minta KKM umum keputusan rentas negeri sempena Aidilfitri lebih awal
Ubah saiz-+=