Kenaikan tarif air di Melaka keempat terendah dalam negara

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 24 Januari – Tarif baharu air bagi semua kategori domestik di Melaka dinaikkan purata RM0.16 bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kali terakhir pelarasan tarif domestik dilaksanakan di Negeri Melaka adalah 13 tahun lalu, iaitu pada April 2011.

Menurut beliau, purata kenaikan RM0.16 per meter padu itu atau 13.9 peratus itu membabitkan 297,000 akaun pengguna domestik di negeri ini, sekali gus menjadikan kenaikan itu adalah keempat terendah berbanding negeri lain.

“Peningkatan bil air bulanan ke atas pengguna bagi kategori di bawah 20 meter padu yang membabitkan seramai 150,000 tidak terjejas secara signifikan meskipun tarif dinaikkan sebanyak RM0.27 bagi setiap meter padu iaitu daripada RM0.60 kepada RM0.87 bagi setiap meter padu.

“Manakala bagi pengguna yang menggunakan air antara 21 hingga 35 meter padu membabitkan kira-kira 81,000 pengguna dinaikkan daripada RM0.95 kepada RM1.52 bagi setiap meter padu.

“Bagi pengguna yang menggunakan air melebihi 35 meter padu membabitkan seramai 66,000 pengguna di negeri ini pula menerima kenaikan lebih tinggi iaitu daripada RM1.45 kepada RM2.02 bagi setiap meter padu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Bijasura Kompleks Seri Negeri, di sini, yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Abd Rashid Ab Rahman dan Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA), Azizul Adzran Mahmor.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, bagi kategori bukan domestik, tarif baharu bagi pengguna perniagaan, industri dan bangunan kerajaan dinaikkan daripada RM2.40 kepada RM2.47 bagi penggunaan 0 hingga 35 meter padu manakala pengguna melebihi 35 meter padu, caj kenaikan dikenakan daripada RM2.45 kepada RM2.52.

“Bagi rumah ibadat dan institusi kebajikan dinaikkan daripada RM0.90 kepada RM0.97 bagi setiap meter padu manakala kategori perkapalan dinaikkan daripada RM7 kepada RM7.07 setiap meter padu,” katanya.

Ab Rauf berkata, kenaikan tarif itu adalah lanjutan daripada Mekanisme Penetapan Tarif yang diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri 13 Disember lalu.

“Kenaikan itu membolehkan SAMB mengatasi perubahan kos elektrik disebabkan surcaj pelepasan kos tidak seimbang oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan menampung kos operasi SAMB termasuk kos penyelenggaraan melibatkan RM290 juta setahun.

“Jangkaan pendapatan tambahan daripada pelarasan tarif air ini akan digunakan SAMB bagi membiayai projek-projek menaik taraf dan penambahbaikan sistem perkhidmatan bekalan air di Negeri Melaka,” katanya.

Pada 17 Januari lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan tarif air baharu bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan purata sebanyak RM0.22 bagi setiap meter padu yang berkuat kuasa bermula 1 Februari ini.

Pelarasan itu dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1190
Kongsi :
Previous post Polis percaya cemburu jadi motif pembunuhan Bella
Next post Penjawat awam Melaka rai Thaipusam dibenar cuti tanpa rekod
Ubah saiz-+=