Kenaikan peratus pencen pesara perlu dikaji – Kupekmas
AYER KEROH 19 Julai – Kelab Pesara Kerajaan 1 Malaysia (Kupekmas) menggesa kerajaan meneliti semula kadar kenaikan peratus pencen melibatkan pesara di negara ini.
Presiden Kupekmas, Datuk Omar Osman berkata ia berikutan majoriti pesara adalah melibatkan golongan B40 iaitu pendapatan kurang daripada RM4,000.
“Kita pencen dua peratus sahaja zaman sejak zaman perdana nenteri terdahulu, (jadi) kita minta lima peratus tapi kerajaan tak mampu ketika itu.
“Kalau pencen besar dapat lah banyak, tapi kalau pencen macam RM1,000 kalau dua peratus dapatlah RM20…nak beli ubat pun tak mampu.
“Pesara secara keseluruhan ada 900,000, tetapi pesara dalam kategori B40 sahaja ada 700,000, jadi bantulah mereka ini setidaknya ditambah lagi satu peratus kenaikan pencen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Pesara anjuran Kupekmas dirasmikan EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis di Mini Stadium Dewan Bistari di sini, hari ini.
Hadir sama EXCO Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin.
Ujarnya, merayu agar kerajaan dapat melaksanakan kenaikan peratusan pencen itu dalam masa terdekat.
“Kita masih merayu pada kerajaan hari ini supaya dapat pertimbangkan peratusan ini, kita faham kerajaan dalam keadaan ekonomi sekarang… kalau tidak boleh buat cepat sekurangnya dapat dikaji semula.
“Ada 85 peratus pesara yang sepatutnya boleh bersara dengan selesa tetapi hari ini mereka terpaksa berhadapan situasi getir,” katanya.
“Itu belum lagi bagi mereka yang pencen dibawah penswastaan yang mana mereka hanya dapat pencen RM200 ke RM300 sebulan.
“Pandang sedikit pesara seperti kita ini yang banyak bekorban dan menolong kerajaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.