Kenaikan gaji: Pacu motivasi, tingkat integriti penjawat awam
KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) — Kenaikan gaji penjawat awam mampu menjadi motivasi untuk memberikan perkhidmatan lebih cemerlang di samping memperkasa tahap integriti mereka, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia Jais Abdul Karim.
Beliau berkata kenaikan gaji penjawat awam ini juga pastinya dapat membebaskan sebahagian mereka dari isu kewangan seterusnya menjadi pemangkin kepada mereka untuk lebih fokus kepada perkhidmatan kepada rakyat.
“Bagi saya integriti penjawat awam adalah sesuatu yang didambakan, rakyat berharap perkhidmatan yang cepat, tulus, dan ini harapan rakyat yang cukup tinggi terhadap penjawat awam,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
“Kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendapati kaitan yang cukup rapat tentang gaji dan integriti…Seseorang (lebih) mudah mengambil jalan pintas dengan mengambil rasuah bagi menampung pendapatan yang tidak mencukupi,” katanya.
Pada sambutan Hari Pekerja 2024 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus yang merupakan antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara, melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Jais berkata tindakan kerajaan itu adalah satu langkah yang wajar dan tepat pada waktunya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.