Kemuncak pendaratan penyu karah Ogos

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

TANJUNG BIDARA 5 Ogos – Kemuncak pendaratan penyu karah untuk bertelur di pantai Melaka Barat bulan ini membuatkan petugas Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Padang Kemunting, di sini terpaksa bekerja lebih kuat.

Peningkatan pendaratan penyu sejak seminggu lalu menyebabkan renjer dan petugas PKPP terpaksa melalui bulan ini sebagai ‘bulan tanpa rehat’.

Haiwan marin itu dikesan naik ke pantai sepanjang 20 kilometer (km) dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi untuk bertelur pada kemuncak musim pendaratan bulan ini sebelum dijangka menurun pada September depan.

Bagi renjer PKPP, bulan ini disifatkan sebagai ‘bulan bukan untuk berehat’ manakala bagi pekerja harian sambilan (PHS), peningkatan itu adalah peluang untuk mereka meraih pendapatan yang lebih berbanding ketika kurangnya pendaratan sebelum ini.

Tamby Shah Abdul Hamid membawa telur penyu ke PKPP, Padang Kemunting.

Renjer Tamby Shah Abdul Hamid, 60, berkata sejak seminggu lalu, beliau terpaksa bekerja lebih kuat mengawasi penyu naik ke pantai dan bertelur sebelum mengutip telurnya untuk dihantar ke PKPP.

Dengan kadar upah RM45 semalam, nelayan terbabit yang menjadikan tugas berkenaan sebagai kerja separuh masa, bertanggungjawab mengawasi penyu naik ke pantai bagi memastikan ia bertelur tanpa diganggu oleh sesiapa pun, apatah lagi mengambilnya untuk dipasarkan.

“Sejak seminggu lalu, setiap malam ada sahaja sarang telur penyu yang saya jumpa dengan jumlah telur setiap sarang tidak kurang daripada 100 biji dan yang paling tinggi saya pernah jumpa, 150 biji,” katanya ketika ditemui di PKPP malam tadi.

Beliau mendakwa, berdasarkan pengalamannya mengutip telur penyu selama 10 tahun, bulan ini adalah kemuncak pendaratan penyu di pantai Melaka Barat, terutama Padang Kemunting, Tanjung Bidara, Pengkalan Balak, Kampung Baru, Kampung Tengah, Tanjung Serai, Telok Gong, Balik Batu, Telok Belanga, Meriam Patah, Pasir Gembur,
Kem Terendak, Sungai Tuang dan Tanjung Dahan.

PHS Faez Mohamad, 26, berkata peningkatan telur penyu yang dibawa renjer ke PKPP, membuatkan beliau terpaksa menggali antara 15 hingga 20 lubang satu malam sebelum menutupnya dan meletakkan papan tanda rekod penanaman dan jangkaan anak penyu akan menetas.

Dengan memulakan tugas pada jam 8 malam sebelum berakhir pada jam 5 pagi, Faez bertanggungjawab mengira telur yang dibawa renjer dari lokasi penyu bertelur ke pusat berkenaan sebelum menanamnya dalam lubang sedalam kira-kira 33 sentimeter.

“Setiap lubang menempatkan 100 hingga 120 telur yang baharu dikutip di pelbagai lokasi, terutama selepas terbenam matahari hingga dinihari dan kadang kala berlanjutan hingga sebelum terbit fajar,” katanya.

Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan negeri, sebanyak 182 pendaratan penyu dicatatkan di negeri ini dari Januari hingga Mei lalu, berbanding hanya 106 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Purata antara 400 hingga 500 sarang penyu karah dicatatkan di negeri ini setahun dengan Pantai Padang Kemunting mencatatkan lebih 100 pendaratan, iaitu yang tertinggi berbanding di kawasan lain, sekali gus menjadikannya menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan di negeri ini.

Sebanyak 4,595 sarang telur penyu dicatatkan di Melaka dari 2009 hingga 2018 dan menjadikan pantai di negeri ini sebagai lokas pendaratan penyu karah tertinggi di Semenanjung.

Views:

757
Kongsi :
Previous post Kemerdekaan perlu selari dengan tuntutan agama
Next post Rate Card Iklan
Ubah saiz-+=