Kempen galak rakyat menabung di Tabung Haji akan dilaksanakan
BANDA HILIR 29 Jun – Kerajaan negeri bakal melaksanakan kempen untuk menggalakkan rakyat Melaka menabung di Tabung Haji.
Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, kempen berkenaan amat penting sebagai pemangkin semangat buat umat Islam di negeri ini menunaikan rukun Islam yang kelima itu.
“Kita difahamkan setakat ini ada 367,404 pendeposit seluruh Melaka yang merangkumi 58 peratus penduduk Islam di negeri ini. Sebab itulah kita mahu mengadakan kempen ini untuk menggalakkan lebih ramai rakyat mempunyai simpanan Tabung Haji.
“Saya percaya, jika bermula dari sekarang, sampai satu masa nanti InsyaAllah tanpa kita sedari kita sudah dapat menunaikan haji bila jumlah tabungan mencukupi. Sekurang-kurangnya niat itu sudah ada untuk ke tanah suci,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja di Lembaga Tabung Haji Melaka, di Banda Kaba, di sini, pagi tadi.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri (Dr) Hasim Hasan dan Pengarah Lembaga Tabung Haji Melaka, Mohamad Zahir Hussin@Yusof.
Menurutnya, selain melaksanakan kempen, pihak kerajaan negeri juga akan melaksanakan potongan gaji kepada penjawat awam negeri bagi memastikan lebih ramai mempunyai simpanan di Tabung Haji.
“Kita akan menyampaikan perkara ini dalam Amanat Penjawat Awam Negeri akan datang. Potongan bulanan itu, bagaimanapun perlu mendapat persetujuan semua dan jumlahnya terserah kepada penjawat awam itu sendiri,” katanya lagi.