Sorting by

×

KEMBARA RAMADAN KAK SOM SANTUNI WANITA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PENGKALAN BATU 19 Mac – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Wanita Hang Tuah Jaya telah menganjurkan Kembara Ramadan 2025 dengan menjelajah ke empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, program itu diadakan sebagai sebahagian usaha dalam memperkasa peranan wanita dalam masyarakat.

“Sepanjang kembara ini, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan bersama ketua wanita cawangan di setiap DUN, di DUN Ayer Molek para peserta bergotong-royong menyediakan kuih koci, manakala di DUN Bukit Katil pula membuat kuih karipap.

“Suasana kemeriahan turut dirasai di DUN Ayer Keroh dengan penyediaan bubur kacang, sementara di DUN Pengkalan Batu peserta berpeluang membuat kuih serabai dan serawa durian.

“Program ini bukan sekadar mengeratkan ukhuwah antara ketua wanita cawangan, tetapi sebagai penghargaan kepada mereka yang komited menjalankan pelbagai program kemasyarakatan,” katanya.

Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri berkata, program ini dirangka bagi menghargai jasa dan bakti ketua-ketua wanita cawangan yang sentiasa memberi komitmen dalam setiap aktiviti dirancang.

“Saya doakan mereka terus sihat dan bersemangat dalam perjuangan, semoga Ramadan ini menjadi medan untuk kita lebih merapatkan ukhuwah.

“Kembara ini bukan sahaja menceriakan suasana Ramadan tetapi turut memperkukuh perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan wanita di Hang Tuah Jaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

39
Kongsi :
Previous post OP BERSEPADU MBMB: 357 PREMIS DIPERIKSA, ENAM DISITA
Next post PINTU MASUK AYER KEROH ‘BERCAHAYA’ SAMBUT KEPULANGAN ANAK RANTAU