Sorting by

×

Kembali selepas 10 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LINGGI 19 Okt – Kejadian air pasang besar yang melimpah ke dalam rumah nelayan hari ini mengingatkan kembali detik sama dihadapi mereka 10 tahun lalu.

Nizam Hassan, 43, berkata, rumahnya yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari gigi pantai, mulai dimasuki air jam 7 pagi tadi sehingga air ke paras buku lali.

“Mujurlah, saya sudah membuat persediaan awal dengan memindahkan barang rumah tempat tinggi semalam.

“Saya dan isteri, Ernawati Bukhari, 32, terpaksa membersihkan rumah apabila air mulai surut kira-kira dua jam selepas itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Dahan, di sini hari ini.

Nizam berkata, fenomena itu menyebabkan dia dan nelayan lain mengalami nasib seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana turut berdepan masalah hakisan pantai yang sudah berlarutan sejak hujung Jun lalu.

Katanya, hakisan pantai menyebabkan tebing pantai menjadi curam setinggi kira-kira 1.5 meter yang mengakibatkan perahu nelayan tidak dapat diturunkan ke gigi pantai.

Sehubungan itu, kebanyakan nelayan pinggir pantai di kampung itu terpaksa melakukan kerja lain seperti mengambil upah bertukang, berkebun dan seumpamanya bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Saya sendiri terpaksa buat kerja kontrak untuk menyara empat anak, termasuk tiga yang bersekolah sedangkan isteri tidak bekerja,” katanya.

Abdul Rahman Aton, 58, berkata kebun tebu berhampiran kediamannya rosak akibat dinaiki air masin dan beliau sendiri tidak turun ke laut sejak tiga bulan lalu akibat hakisan pantai.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera membina benteng pemecah ombak bagi membantu mengatasi masalah berkenaan.

“Air pasang besar kita tidak boleh elak kerana ia adalah kejadian semulajadi setahun sekali atau dua tahun sekali tetapi hakisan pantai boleh diatasi melalui pembinaan benteng itu,” katanya.

Beliau berkata, kehidupan nelayan yang terjejas teruk sejak hujung Jun lalu harus dibantu dengan pembinaan benteng berkenaan secepat mungkin.

Views:

574
Kongsi :
Previous post Hanya empat pelanggan
Next post Melaka tubuh jawatankuasa tangani hakisan pantai
Ubah saiz-+=