Sorting by

×

KEMATIAN BAYI BELUM TERJAWAB, KELUARGA MAHU KEADILAN

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

PAYA RUMPUT 10 September – Kematian anak bongsu berusia enam bulan sejak dua tahun lalu masih menjadi tanda tanya bagi pasangan suami isteri ini dengan mendakwa tiada keadilan sewajarnya diberikan.

Bayi perempuan mereka yang pada awalnya sihat ketika dihantar ke sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Pulau Gadong dilaporkan tidak sedarkan diri, di mana ia kemudiannya menjadi satu peristiwa hitam buat Nurul Fatehah Sandollah, 37.

Nurul Fatehah berkata, detik hitam 27 Oktober 2022 telah meragut nyawa Haura Najiha Mohd Kamaruddin Helsa dan mendakwa kes yang berlaku itu disifatkan sebagai kes ‘tersembunyi’ disebabkan mengambil masa yang lama untuk menuntut keadilan.

Katanya, selepas empat bulan barulah dia dan suami Mohd Kamaruddin Helsa Muhd Saad, 42 menerima laporan bedah siasat menyebut kematiannya berpunca akibat ‘pneumonia’ atau paru-paru dijangkiti kuman.

“Anak saya sebenarnya sudah ‘tiada’ sejak awal lagi selepas menerima panggilan pada jam 4.29 petang dan pengasuh menyatakan bahawa dia sudah tidak sedarkan diri.

“Mereka maklumkan anak saya sudah dihantar ke klinik berdekatan dan klinik itu menolak kemasukkannya sebelum dihantar ke Hospital Melaka.

“Selama ini saya diibaratkan seperti pengemis naik turun di pejabat agensi terlibat tapi saya tidak dilayan kerana mahu menuntut keadilan sewajarnya,” dakwanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Bertam Impian, di sini.

Lebih menyedihkan, insiden itu didakwa berlaku di taska yang tidak berlesen, selain mendakwa taska berkenaan masih beroperasi menggunakan lesen lain di bawah syarikat yang sama.

“Saya amat terkejut dan kecewa selepas dimaklumkan rakan saya sendiri kerana selepas tiga bulan insiden itu berlaku barulah taska itu dilesenkan,” dakwanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia berharap agar ada tindakan sewajarnya berikutan kes membabitkan taska di negeri ini semakin membimbangkan selepas kes bayi berusia 8 bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri yang meninggal dunia ketika di bawah jagaan pengasuhnya di sebuah taska di Kelemak, Alor Gajah pada Jumaat lalu.

Dia mendakwa kejadian menimpa Muhammad Al Fateh seakan sama berlaku kepada anaknya yang mana ketika di hospital, pengasuh anaknya mendakwa bayinya dibedung dan telah ditinggalkan dalam tempoh beberapa jam sebelum ditemui semula dalam keadaan tertangkup.

“Masa itu kami tak terfikir nak rakam apa yang diluahkan pengasuh itu, kerana ketika itu saya fikir masa untuk bersama anak saya yang sedang bertarung nyawa lebih penting,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

216
Kongsi :
Previous post 27 TASKA TIDAK BERDAFTAR DI MELAKA TELAH DIAMBIL TINDAKAN
Next post SMIX 2024 BERTARAF ANTARABANGSA PADA 10, 11 OKTOBER DEPAN
Ubah saiz-+=