KEMASUKAN PENGUNJUNG KE MUZIUM SEPANJANG 2024 ‘MELONJAK’
BANDA HILIR 29 Disember – Hampir RM6 juta berjaya dikutip Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menerusi jualan tiket masuk ke muzium kendaliannya bagi tempoh Januari hingga Disember.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan berkata, kutipan itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelum dengan hanya RM4,946, 848.
“Awal Januari sehingga 22 Disember lalu, PERZIM merekodkan seramai 570,334 pengunjung yang singgah ke muzium dan menjadikan jumlah keseluruhan kutipan berjumlah RM5, 998, 122.
“Untuk tempoh sama tahun lalu, PERZIM hanya merekodkan kedatangan pengunjung seramai 491, 996 orang sahaja dan ini menunjukkan peningkatan yang agak tinggi,” katanya.
Zaidi yang juga Timbalan Pengerusi PERZIM berkata, antara faktor mendorong kepada peningkatan jumlah kedatangan pengunjung adalah penganjuran pelbagai program bukan sahaja oleh PERZIM tetapi juga Kerajaan Negeri bersempena sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya yakin angka itu akan terus meningkat hingga hujung bulan ini, ia susulan terdapat beberapa program lagi yang akan berlangsung dan dengan pecutan akhir ini ia akan melepasi angka RM6 juta.
“Dengan pencapaian ini, untuk tahun hadapan PERZIM meletakkan sasaran kutipan berjumlah RM6.5 juta dengan kehadiran kira-kira 600,000 pengunjung,” katanya.
Jelasnya, sasaran itu berdasarkan keupayaan dan perancangan Kerajaan Negeri dalam sektor pelancongan yang akan menarik lebih ramai pelancong serta pengunjung ke Melaka ia juga susulan dengan sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.