
KEMASUKAN PELANCONG KE MELAKA MELALUI LALUAN UDARA DAN AIR MENINGKAT
SERI NEGERI 28 April – Kemasukan pelawat ke Melaka menerusi laluan udara dan air terus mencatatkan peningkatan seterusnya merancakkan lagi industri pelancongan negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata menerusi laluan air, Terminal Feri Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka merekodkan sebanyak 35,270 penumpang keluar masuk untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Katanya, jumlah itu dijangka akan melonjak dengan persinggahan lima lagi kapal persiaran mewah dalam masa terdekat.
Katanya, lonjakan pelancong masuk ke negeri ini menerusi laluan air iaitu segmen pelayaran kapal persiaran mewah Genting Dream Cruise turut membantu melonjakkan jumlah kemasukan pelancong ke Melaka.
“Kapal ‘Star Voyager’ berlabuh di Melaka sejak 27 Mac lalu antara yang terbaharu dan kapal terbabit melalui laluan Medan-Singapura- Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Usul Terima Kasih Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut memaklumkan menerusi laluan udara, syarikat penerbangan Scoot Airlines pula merekodkan kemasukan 11,465 penumpang bagi tempoh tiga bulan dari Januari hingga Mac 2025.
“Lima penerbangan mingguan dari Singapura ke Melaka menerusi Scoot Airlines turut melonjak kemasukan pelancong ke negeri ini.
“Ia membuktikan petanda jelas peningkatan aksesibiliti antarabangsa ke negeri ini.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata sebagai langkah strategik Tahun Melawat Melaka 2.0 akan dilancarkan pada 31 Disember 2025.
“Kerajaan Negeri menetapkan sasaran unjuran pendapatan hampir RM18 bilion bagi tahun 2025 dengan sasaran 16.5 juta pelancong pada tahun ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.