Kemasukan pelaburan asing ke Melaka dijangka lebih tinggi menjelang hujung tahun – MIDA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Melaka dijangka mencatatkan nilai pelaburan yang lebih tinggi bagi tempoh suku kedua tahun ini dan perkembangan itu dijangka kekal positif hingga ke hujung tahun.

Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) Melaka, H. Jaibalan berkata, pelaburan baharu yang masuk di negeri ini akan membawa perkembangan positif dalam sektor perkilangan khususnya elektrik dan elektronik.

Katanya, lokasi Melaka yang strategik iaitu antara Johor, Negeri Sembilan dan Selangor serta kos yang lebih rendah berbanding negeri lain antara faktor penggalak membantu peningkatan pelaburan khususnya daripada luar negara.

“Apa yang kita lihat kerajaan negeri Melaka, bersungguh-sungguh dan progresif dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan.

“Sementara itu berdasarkan kajian pekerja di Melaka menunjukkan kesetiaan apabila bekerja dalam tempoh yang lama di sesebuah industri.

“Ada antaranya berkhidmat lebih15 tahun, ini juga antara faktor yang menyumbang kepada kemasukan pelaburan ke Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain bidang elektronik dan elektrik Melaka juga mempunyai potensi besar dalam sektor makanan, teknologi hijau, mesin serta peralatan.

Jelasnya bagi suku pertama tahun lalu, pelaburan yang masuk sedang kearah beroperasi sepenuhnya dan kini proses seperti pembelian tanah, pembinaan infrastruktur sedang giat dijalankan dengan dijangka mengambil masa enam bulan untuk diselesaikan.

“Ini merupakan perkembangan terbaik di negeri ini dan dianggarkan sebanyak 25 peratus pelaburan asing akan masuk ke Melaka dengan memfokuskan kepada pembuatan semi konduktor, kenderaan elektrik, automotif, aeroangkasa, perubatan dan kimia.

“Langkah promosi ke negara luar seperti yang dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini merupakan antara faktor utama dalam membina keyakinan pelabur asing untuk memilih Melaka sebagai pusat operasi mereka.

“Semua ini adalah hasil kerjasama kerajaan negeri, MIDA, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Invest Melaka Berhad yang membawa cerminan untuk menarik pelabur ke negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1178
Kongsi :
Previous post Peniaga jangan jual lebih kapasiti dibenarkan – KPDNHEP
Next post Perhimpunan jalanan bukan penyelesaian – Sultan Johor
Ubah saiz-+=