KEMAS saring enam guru untuk Tabika Autisme Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TABOH NANING 28 Julai – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Melaka telah menyaring seramai enam guru berkelayakan untuk mendidik anak-anak di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Autisme.

Pengarah KEMAS Melaka, Asri Saleh berkata pihaknya bagaimanapun masih dalam usaha menambah bilangan guru berkenaan berikutan respon diterima daripada ibu bapa memiliki anak istimewa itu adalah sangat baik.

“Insya-Allah tahun hadapan kita akan mulakan kelas Tabika kanak-kanak autisme ini seperti saranan Kerajaan Negeri.

“Untuk pemilihan guru kita sudah saring awal mengikut kelayakan mereka, sudah tentu guru ini perlu ada ijazah pendidikan dalam pengurusan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Cuma kita akan perhalusi lagi latihan yang diperlukan terhadap enam guru ini untuk jalani tugas mereka sepenuh masa sebagai guru Tabika anak autisme,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Potensi Tabika KEMAS dan Healthy & Bright Kids Digital Carnival Negeri Melaka Tahun 2024 di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di sini, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Abdul Hakim Abdul Wahid mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS, Rafea’ah Nahar.

Menurut Asri, setakat ini lokasi bagi pembinaan Tabika autisme berkenaan sudah dikenal pasti di ketiga-tiga daerah di negeri ini.

“Kita sudah kenal pasti beberapa lokasi cuma belum boleh umumkan lagi, sudah tentu lokasi yang dipilih ini strategik dan sesuai dan mengikut keperluan KEMAS,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

160
Kongsi :
Previous post Karnival Sukan Veteran tonjol bakat ‘orang lama’
Next post Mini Karnival Usahawan Desa meriahkan Festival D’Bendang
Ubah saiz-+=