KEMALANGAN MAUT LIBAT PENUNGGANG MOTOSIKAL DI MELAKA MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

MELAKA, 19 Okt – Kadar kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di Melaka mencatatkan sebanyak 135 kes dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding 144 kes sepanjang tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata statistik berkenaan agak membimbangkan kerana kes tahun ini hampir melepasi kes tahun lepas meskipun pelbagai usaha dari aspek penguatkuasaan dan advokasi berkaitan aspek keselamatan jalan dipertingkat dalam kalangan pengguna motosikal di negeri itu.

“Kita (JPJ) memantau aspek penguatkuasaan bermula di peringkat sekolah selain memupuk budaya mematuhi peraturan jalan raya di peringkat usia muda sekali gus mengurangkan kadar kemalangan dan kematian membabitkan golongan pelajar menerusi kaedah pendidikan dan kesedaran awal.

“Usaha ini dilaksanakan menerusi Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya yang sedang diperluas di sekitar sekolah menengah di Melaka memandangkan golongan pelajar merupakan antara mangsa kemalangan maut akibat kecuaian sendiri atau mangsa keadaan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Sempena Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2 JPJ Melaka, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Pemandu Ibu Pejabat JPJ Izawati Zai.

Muhammad Firdaus berkata selain itu pihaknya bercadang untuk memperluas pemantauan dan penguatkuasaan melibatkan penunggang motosikal di kawasan kilang.

Beliau berkata usaha itu bukan bertujuan mencari kesalahan atau menghukum, sebaliknya memberi kesedaran kepada penunggang untuk memastikan motosikal mereka sentiasa berada dalam keadaan baik, mempunyai lesen kenderaan motor, insurans tidak tamat tempoh selain patuh terhadap peraturan jalan raya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan katanya JPJ Melaka telah menyelesaikan kuota yang diperuntukkan kerajaan kepada negeri itu bagi Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2 melibatkan 2,500 penerima.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,869 penerima merupakan calon berusia 16 hingga 30 tahun diikuti 31 hingga 50 tahun (495 calon) dan 51 tahun ke atas (136 calon). Calon paling tua berusia 73 tahun dari Alor Gajah.

“Sebanyak 1,537 calon dari daerah Melaka Tengah, Jasin (553) dan Alor Gajah (410) manakala peserta merupakan dalam kalangan B40 dan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata Program Bantuan MyLesen Motosikal Kelas B2 dilaksanakan bermula Jun lepas melibatkan kerjasama lapan institut memandu di negeri itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

60
Kongsi :
Previous post KANCIL TERBAKAR, LELAKI MELECUR DI JARI
Next post BELANJAWAN 2025 LULUSKAN 14 INISIATIF UNTUK PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN
Ubah saiz-+=