Kemalangan maut Jalan Panchor: “Ralat teramat sangat, terkilan”- ibu mangsa
ALOR GAJAH 22 Julai – “Ralat teramat sangat, terkilan kerana tidak dapat mendengar suara arwah anak untuk kali terakhir,” itu luahan hati seorang ibu apabila mendapat khabar duka anaknya yang berusia sembilan tahun maut dalam kemalangan di Jalan Panchor, Durian Tunggal di sini pagi tadi.
Nur Atiqah Saadin, 31 berkata dia sangat merindui anak sulungnya itu selepas empat bulan tidak bertemu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu dan berhasrat untuk membawa pulang mangsa dan adiknya yang berusia empat tahun ke Tampin, Negeri Sembilan sempena Hari Raya Aidiladha ini.
Katanya, sejak PKP dia tidak pernah putus untuk membuat panggilan video setiap hari namun agak terkilan kerana tidak dapat melihat serta mendengar suara anaknya kerana Nur Aqilah Husna tidur awal bagi memulakan sesi persekolahan pagi ini.
“Malam tadi saya buat panggilan video ingatkan nak bercakap dengan arwah tetapi dia tidur awal jadi saya hanya bercakap dengan adiknya sahaja.
“Kali terakhir saya bercakap dengannya dua hari lepas (Isnin) dan dia ceria sangat tunjuk dia sedang bermain dengan adiknya.
“Arwah pun agak sedih sebab sepatutnya saya ambil dia dan adiknya awal sedikit untuk pergi majlis perkahwinan adik saya di Kelantan pada Hari Raya Haji ini namun terpaksa ditunda kerana sekolah sudah bermula,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah di sini hari ini.
Menurut Nur Atiqah, Allahyarhamah dan adiknya dijaga bekas suami sejak mereka bercerai dua tahun lalu.
Jelasnya, dia menerima panggilan telefon daripada adik bongsu bekas suami pada jam 8 pagi tadi memaklumkan anak perempuannya sudah meninggal dunia.
“Seakan tidak percaya sebab suara adik bekas suami tenang sahaja dan saya cuma beritahu saya akan ke hospital.
“Namun sebaik tiba di hospital, saya tengok (jenazah Allahyarhamah), saya macam tidak boleh terima (hakikat),” katanya.
Nur Atiqah bagaimanapun reda dengan pemergian anaknya dan menyifatkan anaknya seorang anak yang baik dan mendengar kata orang tua.
“Alhamdulillah saya didik dia dengan baik, daripada lahir dia senang dijaga dan tidak banyak kerenah malah dia sangat menyayangi adiknya.
Mangsa yang membonceng motosikal bersama bapanya, Amirul Husaini Muhammad, 33 disahkan maut di lokasi kejadian selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah lori ketika dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Melana pada jam 7.20 pagi.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beringin, Durian Tunggal selepas solat Zuhur.