Kemalangan maut di Melaka meningkat 50 peratus
DUYONG 24 April – Sebanyak 48 kemalangan maut direkodkan di Melaka dalam tempoh Jan hingga Mac tahun ini.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu dengan 32 kemalangan direkodkan.
Beliau berkata, selain kemalangan maut kemalangan mengakibatkan kecederaan parah juga menunjukkan peningkatan.
“Tiga bulan pertama ini menunjukkan peningkatan agak tinggi apabila meningkat dengan 16 kes menjadikan 48 kemalangan maut kesemuanya.
“Daripada jumlah itu daerah Melaka Tengah merekodkan kes tertinggi dengan bilangan 25 kes diikuti Alor Gajah 16 serta hanya tujuh di Jasin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jelajah Op Selamat 18 PDRM bersama Petronas, di Semabok.
Menurut beliau, dengan pelaksanaan Op Selamat 18 nanti ia dapat mengurangkan kemalangan maut.
“Melalui operasi itu jita akan memberi nasihat dan panduan kepada pengguna jalan raya bagaimans untuk patuhi peraturan jalan raya supaya ia selamat.
“Kita dapati sebelum ini dalam tempoh dua tahun dalam pandemik COVID-19 jumlah itu berkurangan oleh itu kita harap semua dapat patuhi peraturan,” katanya.
Mengulas lanjut, Amran berkata, tiada kawasan panas atau ‘hotspot’ diklafikasikan pihaknya tetapi mengenal pasti dua laluan yang sering berlaku kemalangan maut.
“‘Hotspot’ memang kita tiada, tetapi yang kita kenal pasti sering berlaku kemalangan iaitu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA).
“Untuk itu kita gerakkan semua anggota di semua daerah untuk melakukan pemantauan dan rondaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.