
KEM TERENDAK KEKAL JADI TUAN RUMAH TAHUN DEPAN
TANJUNG BIDARA 16 Februari – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform akan diteruskan pada tahun hadapan selepas mendapat sambutan hebat pada edisi sulung yang berakhir, hari ini.
Menurut beliau, pada tahun hadapan, Kem Terendak sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah memandangkan kawasan itu mempunyai fasiliti dan kemudahan lengkap untuk menganjurkan pelbagai acara sukan.
Selain itu, jelas beliau, kedudukan Kem Terendak yang terletak berhampiran Pantai Tanjung Bidara yang kini menjadi lokasi terbaik penganjuran sukan pantai juga menjadikannya sebagai lokasi tepat penganjuran.
“Pastinya kita telah memberi amanah dan tanggungjawab kepada pengurusan Markas 3 Divisyen di dalam Kem Terendak untuk kekal menjadi tuan rumah.
“Ia memandangkan kem ini mempunyai kemudahan dan fasiliti cukup lengkap seperti padang bola sepak, gelanggang bola jaring, futsal dan badminton
“Insya-Allah, tahun hadapan kita akan meneruskan lagi acara-acara sukan yang bukan sahaja menceriakan, bahkan dapat memberi kesejahteraan dan kelestarian kepada rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025 di Pantai Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad; Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Latihan dan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin; Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid; Panglima-Panglima Formasi; Pegawai-Pegawai Kanan serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Hari terakhir karnival itu menyaksikan beberapa acara kemuncak telah diadakan antaranya acara merentas desa dan ‘Uniform Spirit Walk’ yang disertai seramai 5,000 peserta, di mana pelepasan kesemua peserta telah disempurnakan oleh Ab Rauf.
Selain itu, beliau bersama kenamaan turut menyaksikan perlawanan akhir tarik tali lelaki dan wanita di Pantai Tanjung Bidara yang menyaksikan johan acara lelaki menjadi milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), manakala johan wanita milik Tentera Darat Malaysia.
Selepas itu, telah diadakan persembahan dan pertunjukan istimewa yang menggabungkan pelbagai anggota badan berunifom di udara, darat dan air dan disusuli gimik perasmian tapak litar kereta kawalan jauh.
Acara kemuncak ialah perasmian penutup oleh Ketua Menteri yang turut mengumumkan johan keseluruhan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform menjadi milik Tentera Darat Malaysia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.