Kem PLKN A’Famosa jadi penjara transit sementara

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

ALOR GAJAH 28 Jan. – Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) A’Famosa, di sini, kini menjadi penjara transit sementara untuk banduan yang dipindahkan dari negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Khas COVID-19 Negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, penjara transit itu berfungsi untuk menjalankan saringan bagi kemasukan banduan baharu ke negeri ini dalam usaha mengelakkan sebarang kluster baharu membabitkan penjara.

Jelasnya, penjara transit terbabit kini di bawah kelolaan sementara Jabatan Penjara Malaysia yang bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengawal penularan COVID-19 dalam kalangan banduan serta pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sudah sebulan penjara ini diwujudkan hasil inisiatif awal kita untuk mengelakkan berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan banduan dan petugas penjara memandangkan banyak kes yang berlaku sebelum ini.

“Jadi setiap banduan yang dihantar ke negeri ini akan tempatkan di sini dan kita akan buat ujian calitan COVID-19. Sekiranya, keputusan ujian negatif, barulah kita akan pindahkan mereka ke penjara sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Ghafaar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri berkata, orang ramai tidak seharusnya khuatir dengan tahap keselamatan di kawasan berkenaan, memandangkan keseluruhan kawasan itu dikawal ketat bagi mengelakkan banduan daripada lolos.

“Bagi saya kawasan itu adalah tempat yang bersesuaian untuk penjara transit dan ia bukan tempat yang mudah untuk banduan melarikan diri.

“Dengan kawalan ketat daripada petugas penjara, saya percaya kem itu selamat daripada sebarang anasir yang tidak diingini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dilapor berkata, 15 kem PLKN dan satu Kem Bina Negara bakal disewa untuk dijadikan penjara dan depoh tahanan sementara untuk banduan dan tahanan.

Fasiliti terbabit katanya, hanya akan digunakan untuk menempatkan banduan dan tahanan yang melakukan kesalahan ringan dalam usaha mengekang penularan COVID-19 kalangan banduan, PATI dan petugas.

Views:

8076
Kongsi :
Previous post PKP: Waktu operasi semua sektor perniagaan dibenarkan, dilanjutkan 10 malam
Next post COVID-19: Kluster Jalan Kejora, kluster terbaru di Melaka
Ubah saiz-+=