
KELANCARAN TRAFIK, KESELAMATAN PELANCONG JADI KEUTAMAAN – KP MELAKA
AYER KEROH 28 Februari – Ketua Polis Melaka yang baharu, Datuk Dzulkhairi Mukhtar komited untuk memberikan perhatian kepada aspek kelancaran lalu lintas dan mewujudkan persekitaran yang kondusif serta selamat khusus di lokasi tumpuan pelancong di negeri ini.
Mengulas lanjut Dzulkhairi berkata, kedua-dua aspek itu amat penting dan perlu diberikan perhatian serius sesuai dengan status Melaka sebagai antara destinasi pelancongan utama negara.
Katanya, bagi mencapai hasrat itu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka akan melaksanakan beberapa langkah strategik seperti menempatkan pegawai dan anggota di lokasi tumpuan yang dikenal pasti.
“Kami juga berharap usaha ini mendapat kerjasama daripada agensi penguatkuasaan yang lain serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Hasrat saya adalah memastikan orang luar yang berkunjung ke negeri menikmati persekitaran yang kondusif, tidak ada aduan masalah trafik.
“Juga menjadi keutamaan saya adalah memastikan tidak ada ancaman jenayah di lokasi tumpuan pelancong, meskipun kadar jenayah di Melaka rendah tetapi kami mahu memastikan keselamatan orang ramai di lokasi tumpuan sentiasa terjamin.
“Usaha ini bertujuan untuk mengurangkan ‘fear factor’, contoh pengunjung atau pelancong tidak berasa takut untuk bersantai pada waktu malam, tidak ada perasaan ragu-ragu, insya-Allah kami akan pastikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka di Auditorium IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Terdahulu Majlis Serah Terima Tugas antara Dzulkhairi dan pemangku Ketua Polis Melaka yang juga Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Md Nazri disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Seri Azri Ahmad.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.