Kekurangan diri bukan penghalang terima sijil kemahiran
AYER KEROH 23 Mei – Meskipun mengalami kekurangan upaya, graduan pendidikan khas di negeri ini mampu membuktikan kejayaan mengikut bidang masing-masing.
Ini terbukti apabila mereka berjaya menamatkan pengajian menerusi Majlis Graduasi Program Memacu Kecemerlangan Saluran Kerjaya (PromKeSK) Pendidikan Khas Negeri Melaka sesi 2022/2023.
Menurut salah seorang Penerima Sijil Pelatih Terbaik, Mohd Aqil Firdaus Abdullah,20, mempunyai masalah pembelajaran berkata selama lima tahun dia belajar pelbagai perkara (dalam bidang Pembuatan Roti) untuk membolehkan dia membuat roti dengan sempurna.
Katanya, dia mampu menghabiskan pembelajarannya dengan merangkul Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang Pembuatan Roti.
“Saya bercita-cita untuk membuka sebuah kedai roti bersama pakcik saya selepas ini dan pada masa sama, saya juga merasa gembira apabila menerima markah 96 peratus untuk penilaian amali.
“Dengan menerima (anugerah) Sijil Pelatih Terbaik ini, sekali gus saya juga mahu membuktikan meskipun saya mempunyai kekurangan tapi saya mampu untuk menggapai sesuatu kejayaan jika kita berusaha dan rajin,” katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Naning dan mendapatkan penilaian amali di SMK Ayer Keroh.
Dalam pada itu, seorang graduan pendidikan khas yang mengalami sindrom autisme, Muhammad Amier Syakir Mohd Shariffdin, 19, berkata dia berasa dihargai menerusi majlis julung kali diadakan itu.
“Saya gembira apabila dapat naik ke atas pentas dan menerima sijil, dan saya harap majlis ini akan diadakan setiap tahun untuk menghargai pelajar seperti kami.
“Perancangan saya untuk bekerja di bidang yang saya belajar (pembuatan roti) selepas ini, namun buat sementara waktu saya mahu bekerja dahulu mencari pengalaman dan praktik apa yang dipelajari,” jelasnya yang kini bekerja di sebuah restoran makanan segera di Malim.
Menerusi majlis itu, seramai lima pelajar menerima Sijil Pelatih Terbaik dan seramai 48 graduan menerima sijil dalam bidang masing-masing.
Kesemua graduan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Md Aziz Lani.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.