Kekalkan Bazar Aidilfitri Mega Klebang di tapak asal
KLEBANG 28 Februari – Pengusaha premis perniagaan di Taman Klebang Utama, di sini, mahu penganjuran Bazar Aidilfitri Mega Klebang, dikekalkan di tapak asal seperti sebelum ini.
Wakil peniaga yang juga pengusaha restoran Mohd Kamal Arifin, 57, berkata perkara itu disuarakan berikutan khabar angin mendakwa kononnya mereka mendesak agar lokasi bazar itu dipindahkan ke lokasi lain bagi mengelakkan daripada mengalami kerugian.
“Setakat ini 80 peratus pemilik premis mahu bazar itu dikekalkan di lokasi asal, tidak ada masalah untuk terus berniaga di kawasan itu Ramadan ini. Lokasi itu sesuai dan setiap tahun pendapatan hasil jualan kami meningkat dengan adanya bazar berkenaan.
“Setiap tahun jumlah pengunjung naik, secara tidak langsung membantu meningkatkan jualan kami. Jadi kami tiada halangan untuk penganjuran bazar di sini, selagi khemah yang didirikan tidak menghalang laluan masuk ke premis kami,” katanya.
Sementara itu pemilik kedai pakaian Abdul Rahman Sidik, 54, berkata, penganjuran bazar itu secara tidak langsung membantu mempromosikan produk dijual hingga popular dalam kalangan pengunjung bazar berkenaan.
“Saya khuatir jika bazar ini dipindahkan ke tempat baharu yang difahamkan di pantai Klebang, peniaga berkenaan terdedah kepada risiko khemah diterbangkan ribut seperti pernah berlaku sebelum ini.
“Lokasi berhampiran pantai juga tidak sesuai dan mendedahkan peniaga serta pengujung kepada pelbagai risiko bahaya,” katanya.
Manakala Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, aduan orang awam mengenai penganjuran bazar di lokasi berkenaan bagi tahun ini akan diambil kira sebelum sebarang ketetapan diputuskan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.