Sorting by

×

Kejohanan dan klinik sepak takraw cungkil bakat pelapis

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

TELOK MAS 26 Feb – Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Melaka Piala Sulaiman akan diteruskan setiap tahun dalam usaha mencungkil bakat baru selain mencari pelapis berbakat mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, menerusi kejohanan dianjurkan Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) itu, persatuan itu menerima 36 penyertaan daripada pasukan sepak takraw di seluruh negeri.

Katanya, daripada jumlah itu hanya 24 sahaja yang terpilih menyertai kejohanan itu berikutan pelbagai kriteria diambil kira bagi melayakkan mereka memasuki pertandingan itu.

“Disamping itu kita akan mencari bakat-bakat yang dapat kita cungkil. Ada .talent seekers’ (pencari bakat) yang memerhati mereka untuk kita mewakili negeri Melaka nanti.

“Usaha ini perlu diteruskan memandangkan pasukan sepak takraw, Melaka Titans berjaya meriah juara dalam Divisyen 1 Sepak Takraw League (STL) 2021 dan kita akan memasuki Liga Premier pada tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Negeri Melaka Piala Sulaiman 2022 di Dewan Kompleks Komuniti Desa, KEMAS di sini hari ini.

Hadir sama Presiden PASTAM, Datuk Akramuddin Aziz.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menerima cenderahati dari Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka, Datuk Akramudin Aziz sebagai simbolik pelancaran Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Melaka Merebut Piala Sulaiman 2022 di Dewan Kompleks Komuniti Desa (KKD) Kemas Melaka Tengah, Telok Mas. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbincangan turut diadakan bersama Akramuddin bagi pelaksanaan klinik sukan sepak takraw dalam kalangan kanak-kanak dan remaja bagi mengangkat sukan itu ke peringkat lebih tinggi.

“Kita akan buat sepanjang tahun, begitu juga melatih atau membuka klinik sukan sepak takraw bagi mencungkil bakat mereka yang berminat menyertai sukan ini dan ia akan dilaksanakan nanti.

“Kenapa tidak kita angkat sukan ini dan jika ada usaha persatuan sukan lain menghasilkan juara, kita juga menggalakkan mereka untuk mengadakan acara sukan secara tahunan,” katanya.

Aksi pemain yang menyertai Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Melaka Merebut Piala Sulaiman 2022 di Dewan Kompleks Komuniti Desa (KKD) Kemas Melaka Tengah, Telok Mas. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1221
Kongsi :
Previous post PRN Johor: Hasni hadapi saingan empat penjuru di Benut
Next post Import pemain Indonesia hadapi saingan STL Premier tahun depan
Ubah saiz-+=