Kehadiran pelancong ke Malaysia merosot

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PUTRAJAYA 7 Dis. – Ketibaan pelancong ke Malaysia dari Januari hingga September tahun ini merosot 78.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.

Malaysia hanya menerima 4.29 juta pelancong dalam tempoh berkenaan berbanding 20.1 juta pada 2019, menurut Tourism Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Penurunan jumlah ketibaan pelancong juga menyaksikan pendapatan pelancongan susut sebanyak 80.9 peratus kepada RM12.6 bilion dalam tempoh itu, berbanding RM66.1 bilion pada tahun lepas dengan perbelanjaan per kapita menunjukkan kemerosotan 10.7 peratus daripada RM3,289.30 pada 2019 kepada RM2,938.40 tahun ini.

“Penurunan jumlah ketibaan pelancong secara berterusan disebabkan oleh penutupan sempadan antarabangsa sejak 18 Mac, yang merupakan tindakan proaktif kerajaan dalam membendung penularan pandemik di Malaysia,” menurut Tourism Malaysia dalam kenyataan itu.

Sepuluh pasaran pelancong utama ke Malaysia masih didominasi negara yang sama iaitu Singapura (1,543,627), Indonesia (710,118), China (403,055), Thailand (372,075), India (155,448), Brunei (135,848), Korea Selatan (119,364), Jepun (73,891), Australia (72,369) dan Filipina (65,601), jelasnya.

Menurut Tourism Malaysia, pertumbuhan negatif dilihat bagi pelancong dari setiap pasaran rantau iaitu pasaran jarak dekat (-78.8 peratus), pasaran jarak pertengahan (-80.0 peratus) dan pasaran jarak jauh (-74.0 peratus).

Dari segi pelawat harian ke negara ini, Malaysia mencatatkan sejumlah 1.73 juta ketibaan dari Januari hingga September 2020 iaitu penurunan sebanyak 74.9 peratus berbanding 6.90 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Prestasi pelancongan negara-negara lain juga tidak terkecuali daripada menerima kesan daripada penularan pandemik masyarakat global,” menurut Tourism Malaysia.

Berdasarkan data Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia turut mencatat penurunan yang sama iaitu melebihi 70 peratus disebabkan sekatan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan di negara masing-masing.

— BERNAMA

Views:

412
Kongsi :
Previous post MATTA Melaka terokai produk eko-pelancongan luar bandar
Next post 16 Hutan Simpan Kekal di Kelantan diceroboh pembalak haram
Ubah saiz-+=