Kehadiran pelancong di Melaka merosot lebih 70 peratus- Ketua Menteri
KOTA LAKSAMANA 28 Feb. – Kerajaan negeri tetap berharap larangan rentas daerah dilonggarkan semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir pada 4 Mac ini.
Perkara itu disuarakan ekoran kehadiran pelancong menurun lebih 70 peratus sekali gus memberi impak kepada industri pelancongan secara keseluruhannya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, hasrat diberi kelonggaran itu demi memastikan Kempen Orang Melaka Melawat Melaka (Melakan Visit Melaka) 3.0 yang akan dilancarkan semula pada 8 Mac ini mencapai sasaran.
Katanya, menerusi kempen itu kerajaan negeri bekerjasama dengan produk pelancongan serta premis perniagaan untuk menawarkan diskaun bermula 10 hingga 30 peratus sepanjang kempen yang bermula Mac hingga 31 Disember 2021.
“Melakan Visit Melaka yang sepatutnya berjalan pada tahun lalu tertunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKPB tahun ini.
“Kalau ia dapat dilaksanakan semula saya yakin sektor pelancongan di negeri Melaka akan dipertingkatkan semula dengan rentas daerah terutamanya diberi kebenaran,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kewangan kepada 308 pengayuh beca di negeri ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, bagi merancakkan semula sektor pelancongan di negeri ini, kerajaan negeri memastikan inisiatif yang dibentangkan menerusi Belanjawan 2021 negeri Melaka diagihkan dalam masa terdekat.
“Antara inisiatif yang diagihkan termasuk bantuan kewangan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM500 kepada 308 pengayuh beca, 163 pemandu pelancong dan 141 pemandu bas pelancong, yang diberikan secara berperingkat.
“Saya yakin dalam seminggu dua ini mungkin apabila rentas daerah atau negeri dibenarkan semula, kita dapat meningkatkan ekonomi semula,” katanya.
Pengayuh beca, Muhammad Hazid Hamdan, 20, mengharapkan agar pelancong dari luar negeri mahupun dalam negeri dapat memberi sokongan kepada industri pelancongan di Melaka.
“Selepas PKPB tahun lalu, dapatlah menambah pendapatan walaupun sedikit tetapi kali ini memang betul-betul terjejas,” katanya.
Bagi Tay Thien Chi,57, dia juga berharap agar kerajaan Pusat membenarkan rentas daerah berikutan dirinya terjejas kerana tiada sumber pendapatan.
“PKP 2.0 mahu tarik beca pun susah kerana tidak ada kerja, jadi untuk bantu saya tambah pendapatan terpaksa jual keropok, dapatlah bantu sedikit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.