Sorting by

×

Kediaman selesa untuk nelayan Melaka pada harga RM45,000 sahaja

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

KUALA LINGGI 12 Jun – Hanya perlu membayar RM45,000 untuk rumah jenis berkembar (Semi-D) berharga RM150,000. Itu keistimewaan dimiliki nelayan di negeri ini yang terpilih dalam Projek Penempatan Semula Nelayan di Kuala Sungai Baru Ilir, di sini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, keistimewaan subsidi rumah itu diberikan kepada komuniti nelayan di seluruh Negeri Melaka sebagai komitmen kerajaan membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Menurut beliau, usaha itu direalisasikan berkat usaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang membantu  mempercepatkan proses pemilikan rumah berkenaan.

“Alhamdulillah selepas hampir 10 tahun projek ini dimulakan, hari ini kita telah berjaya menyerahkan rumah ini kepada 36 nelayan daripada keseluruhan 60 unit rumah yang dibangunkan.

“Terima kasih diucapkan kepada semua agensi yang terlibat dalam membantu nelayan menikmati kediaman sendiri yang lebih selesa ini.

“Kita berharap, kediaman baharu ini dimanfaatkan sebaik mungkin kerana rumah ini khas untuk nelayan yang terpilih dan ia tidak boleh disewa atau dijual dalam tempoh 10 tahun,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Nelayan Di Mukim Kuala Sungai Baru Ilir, Daerah Alor Gajah yang disempurnakan Ketua Menteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Yang turut hadir, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Mengulas mengenai baki 24 unit rumah lagi, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan, pihaknya sedang dalam usaha untuk berbincang bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membolehkan Kerajaan Negeri membeli semula rumah berkenaan melalui Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Katanya, langkah itu diambil bagi memudahkan urusan nelayan membeli secara terus daripada LPM tanpa perlu melalui saringan CCRIS atau CTOS serta dokumentasi yang diperlukan pihak bank.

“Seperti kita sedia maklum, ada dalam kalangan nelayan ini tidak memiliki slip gaji dan sukar mendapat kemudahan pinjaman bank sedangkan mereka mempunyai kemampuan untuk membayar pinjaman bulanan.

“Sebab itu, kita usahakan perkara ini untuk memudahkan mereka membeli rumah ini dan membayar secara terus kepada LPM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1318
Kongsi :
Previous post Kehadiran alga di perairan Melaka tunjuk trend penurunan
Next post Pesisiran Sungai Melaka Fasa 2 berwajah baharu
Ubah saiz-+=